Mangsa banjir di Terengganu kekal 463 orang

Bernama
Februari 1, 2024 01:40 MYT
Seorang mangsa banjir mengutip barang-barang yang diseliputi lumpur untuk dibersihkan selepas rumahnya dilanda bencana itu semasa tinjauan di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, baru-baru ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu kekal 463 orang daripada 149 keluarga yang berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan setakat 8 pagi ini, sebanyak 237 mangsa daripada 88 keluarga berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja manakala 226 mangsa daripada 61 keluarga lagi, ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Kampung Shukor.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata meskipun banjir sudah surut dan cuaca semakin pulih, namun terdapat mangsa masih berada di PPS kerana penduduk terjejas sedang dalam proses membersihkan rumah dan barangan mereka.
"Ada lagi penduduk masih membersihkan kediaman masing-masing. Bagaimanapun mereka telah pulang ke rumah secara berperingkat mulai hari ini.
"Kedua-dua PPS dijangka tutup sepenuhnya pada Sabtu ini," katanya ketika dihubungi Bernama.
-- BERNAMA
#banjir #PPS #terengganu #APM Terengganu