KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 1,154 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 6 pagi, pada Selasa.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu meningkat berbanding 1,048 orang setakat jam 10 malam, pada Isnin.

Kesemua mangsa daripada 324 keluarga itu ditempatkan di 12 PPS di tiga daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.

Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa tempat di Terengganu.

Jabatan Meteorologi Malaysia memberi amaran hujan lebat di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu hingga Rabu.