KUCHING: Sarawak kekal merekodkan jumlah mangsa bencana banjir dan tanah runtuh terendah dalam negara dengan 141 mangsa masih ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

PPS yang terlibat ialah PPS banjir di Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi dan PPS tanah runtuh di Dewan Kampung Koran Mawang yang terletak di Bahagian Serian.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan, setakat jam 8 pagi ini, sejumlah 18 PPS yang dihuni seramai 1,204 mangsa banjir sebelum ini ditutup sepenuhnya sejak semalam.

Kesemua PPS yang ditutup masing-masing terletak di Bahagian Kuching (enam), Bahagian Samarahan (tujuh), Bahagian Serian (tiga) dan Bahagian Betong (dua).

Jabatan Meteorologi Malaysia pada Ahad mengeluarkan amaran hujan berterusan hingga hari ini bagi beberapa daerah di Sarawak melibatkan Miri, Subis, Beluru, Marudi dan Limbang.

Hujan berterusan juga dijangka berlaku di negeri Sabah, kawasan pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat serta Wilayah Persekutuan Labuan sehingga Rabu, (28 Disember).

Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri mengerahkan kira-kira 6,000 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi untuk membantu mangsa banjir seluruh negeri.

Mereka terdiri daripada 1,124 anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (1,245 orang), tentera (488 orang), Rela (868 orang), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (1,011 orang), Kementerian Kesihatan Malaysia (423 orang) dan lain-lain agensi (534 orang).