LUMUT: Seorang mangsa bot terbalik di Pantai Teluk Batik semalam, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah ketika mengesahkan perkara itu berkata, Nurulafiqah Abdullah Sani, 34, meninggal dunia pada jam 4.58 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan fizikal yang dilakukan di Hospital Seri Manjung turut dapati tiada unsur jenayah berlaku.

Difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman mangsa di Tanjung Piandang, Kuala Kurau, untuk dikebumikan selepas solat Zohor.

Semalam, media melaporkan sembilan individu termasuk seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) dan dua kru bot terselamat apabila bot yang melakukan aktiviti rekreasi membawa pelancong telah terbalik di Pantai Teluk Batik, Seri Manjung.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian melibatkan mangsa, pelancong tempatan yang kesemua berusia antara tiga hingga 34 tahun itu pada 10.58 pagi.

Katanya, dua mangsa didapati lemas iaitu remaja OKU berusia 17 tahun terbabit dan seorang wanita 34 tahun yang telah dibawa naik ke darat oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba, manakala tujuh mangsa yang lain selamat selepas berjaya berenang ke pantai.

Mangsa lelaki (OKU) yang lemas telah sedar akibat daripada bantuan CPR (resusitasi kardiopulmonari) oleh orang awam seterusnya dibawa ke hospital oleh EMRS bomba.

Seorang lagi mangsa iaitu wanita tidak sedarkan diri dirawat oleh anggota KKM (Kementerian Kesihatan) dan didapati mempunyai nadi seterusnya dibawa ke hospital oleh ambulans KKM.