Mangsa gagal imbang kenderaan sebelum jatuh ke sungai - Bomba

Faris Danial Razi
Januari 1, 2021 13:30 MYT
Penolong Pengarah Operasi Kebombaan JPBM Sarawak, Henderi Ardimansyah memaklumkan, kenderaan yang membawa sembilan ahli keluarga diarahkan berpatah balik keluar daripada feri akibat muatan penuh sebelum terjunam ke dalam sungai itu. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak tidak menolak kemungkinan tragedi kenderaan terjunam ke sungai di pangkalan feri Triso dekat Sebuyau sehingga mengorbankan sembilan keluarga disebabkan gagal mengimbangi kenderaan di laluan berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Kebombaan JPBM Sarawak, Henderi Ardimansyah memaklumkan, mangsa yang merupakan seorang wanita ketika itu sedang memandu keluar selepas diarah berpatah balik daripada feri akibat muatan penuh.
“Saya difahamkan, muatan feri telah penuh. Jadi, apabila muatan feri berkenaan telah penuh, maka kenderaan-kenderaan yang berada di laluan feri itu diminta untuk berpatah balik.
“Jadi, dalam keadaan ini, situasi ataupun kejadian telah berlaku yang mana pemandu tidak berjaya mengimbangi kelajuan atau penglihatannya untuk melihat laluan tersebut,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Tambah Henderi, kenderaan itu datang dari Sibu dan sedang dalam perjalanan ke Kuching.
“Sebenarnya kita difahamkan, terdapat dua buah kenderaan konvoi dari Sibu menuju ke Kuching, tetapi kenderaan yang terlibat hanya sebuah sahaja yang di dalamnya terdapat sembilan mangsa berkenaan," katanya.
Terdahulu, sembilan sekeluarga maut selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda terjunam ke dalam sungai ketika sedang menunggu feri di Jeti Batang Lupar dekat Sebuyau dalam satu insiden petang Jumaat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.14 petang.
BACA: Sembilan maut kenderaan pacuan empat roda terjunam ke sungai
TERKINI: Sembilan sekeluarga maut pikap jatuh sungai
#Kanak-kanak #wanita #bomba #mangsa #bayi #operasi #lemas #sembilan sekeluarga maut #kereta terjunam #Sungai Batang Lupar