KUALA LUMPUR: Mangsa perbuatan menghendap boleh memohon mendapatkan perintah perlindungan sebaik sahaja pelaku kesalahan itu disiasat polis, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata di bawah Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022, perintah perlindungan dimohon mengikut Seksyen 98A(1) secara ex parte, dengan permohonan itu boleh dikemukakan oleh mangsa, wakil mangsa, penjaga kanak-kanak atau Orang Kurang Upaya.

"Di bawah pindaan ini juga, apabila selesai kes di mahkamah dan sekiranya ia berlaku lagi, mangsa boleh memohon semula (perintah perlindungan) dan mahkamah dengan budi bicara boleh memberi perintah perlindungan baharu kepada mangsa," katanya ketika menggulung rang undang-undang itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua, Mas Ermieyati berkata pindaan Akta 593 itu dilaksanakan dengan matlamat bagi memberikan perlindungan undang-undang kepada mangsa jenayah menghendap, melalui perintah perlindungan yang dikeluarkan pihak mahkamah.

Mas Ermieyati berkata, pindaan itu juga diwujudkan berdasarkan falsafah untuk membendung jenayah menghendap dan pada masa sama, dapat mengurangkan kebimbangan, ketakutan dan trauma kepada mangsa.

"Secara kesimpulannya, keprihatinan terhadap perlindungan mangsa perlakuan menghendap di negara ini dijangka akan membawa keharmonian dan kestabilan sosial dalam negara dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan masyarakat," katanya.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan Dewan Rakyat secara sebulat suara.

Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 bagi meminda Kanun Keseksaan (Akta 574), dengan mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap dan mengadakan peruntukan hukuman bagi kesalahan berkenaan.

Rang undang-undang itu antara lain menyatakan sesiapa yang melakukan kesalahan menghendap, hendaklah dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

-- BERNAMA