NATIONAL
'Mangsa jerit minta tolong, terjun sungai sebab bahang sangat panas'
Ahmad Syawal (kiri) menunjukkan lokasi beberapa penduduk di lokasi berhampiran tragedi kebakaran cuba menyeberang sungai untuk mendapatkan pertolongan, pada Selasa. - Foto Sinar Harian
SUBANG JAYA: "Saya dengar suara sayup jerit minta tolong, mereka cuba seberang sungai kerana bahang api sangat panas,".
Itu cerita penduduk Kampung Sri Aman, Ahmad Syawal Hassan, 39, ketika ditemui, di sini, pada Rabu.
Kata Ahmad Syawal, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 8.15 pagi selepas nampak kanak-kanak dan keluarga mereka di seberang sungai.
"Sangat terkejut bila ada situasi sebegitu. Saya nampak mereka semua macam terkapai-kapai, macam nak lemas. Saya terus turun ke sebelah tepi (sungai), sebelum panggil ramai penduduk di sini bantu.
"Kemudian ramai penduduk datang sebelum lima warga Pakistan terjun bantu selamatkan mangsa-mangsa," katanya.
Tambahnya, sekitar 10 ke 20 orang diselamatkan dan ada antara mangsa ini cedera melecur.
"Memang tak boleh dilupakan situasi waktu itu, bunyi api memang sangat kuat, jadi suara mereka minta tolong tak dengar sangat, sayup-sayup sahaja," ujarnya.
Sementara itu, warga Pakistan, Amir Nawab, 48, berkata, niat kami ikhlas mahu membantu selepas melihat ada antara penduduk yang cuba seberang sungai kelihatan terkapai-kapai hendak lemas.
"Kami nampak di sana orang jerit tolong, tolong. Bila kita sampai bawah sini, dia (rakan) sudah terjun ke sungai.
"Kita nampak ada budak, bahaya sebab arus kuat. Kami tarik mereka, kawan lain dukung kanak-kanak. Niat kita mahu tolong, ikhlas. Kita tengok orang susah, mahu tolong," ujarnya.
Bagi seorang lagi warga Pakistan yang terjun ke sungai membantu menyelamatkan mangsa, Jaaffar Ali, 48, pula berkata, dia tidak hiraukan keselamatan dirinya sebaliknya mahu menyelamatkan orang yang dalam kesusahan.
"Saya terjun tak fikir apa. Terjun sahaja, yang penting mahu selamatkan orang sahaja.
"Syukur Alhamdulillah dapat bantu. Kita sama-sama bantu," katanya.
Tindakan murni segelintir penduduk bersama warga Pakistan menyelamatkan mangsa yang cuba menyeberang sungai akibat bahang kepanasan itu turut tular di media sosial.
Dalam kejadian pada Selasa, saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter di Putra Heights, Subang Jaya, meletup sebelum terbakar hingga menyebabkan kerosakan rumah, kenderaan selain kecederaan beberapa penduduk berhampiran.
Sepasukan bomba telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi. -- Sinar Harian