MALAYSIA

Mangsa kebocoran gas amonia tidak ditahan di wad

Bernama 16/01/2026 | 08:45 MYT
Tiga mangsa mengalami sesak nafas dalam kejadian kebocoran gas amonia di susur keluar ke Plaza Tol Seremban arah Kuala Lumpur, petang semalam. - Gambar fail
SEREMBAN: Dua mangsa yang mengalami sesak nafas dalam insiden kebocoran gas amonia di susur keluar ke Plaza Tol Seremban arah Kuala Lumpur, petang semalam berada dalam keadaan baik.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zuraida Mohamed berkata mereka yang dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di sini juga tidak ditahan di wad.

"Mereka dibenarkan pulang pada petang semalam selepas dilaporkan stabil dan kembali sihat," katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Difahamkan seorang lagi mangsa mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan luar.

Sementara itu Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan Abdul Aziz Parmin berkata kualiti udara di kawasan persekitaran lokasi kejadian selamat.

"JAS akan terus memantau keadaan bagi memastikan tiada risiko lanjut kepada alam sekitar dan keselamatan awam," katanya.

Semalam, masing-masing seorang pengawal keselamatan PLUS, jurutol PLUS dan pemandu lori dilaporkan mengalami sesak nafas dalam kejadian kebocoran gas amonia yang berlaku selepas satu daripada 15 tong silinder gas dibawa sebuah lori mengalami kebocoran.

-- BERNAMA


#kebocoran gas amonia #Seremban #plaza tol seremban #HTJS