Mangsa nahas Jalan Genting Highlands disangka maut sebenarnya masih hidup - Polis

Amirah Nordin
Februari 9, 2023 08:46 MYT
Keadaan kenderaan yang terbabit nahas sewaktu membawa 13 penumpang yang dalam perjalanan balik ke Pulau Pinang dari bercuti Pusat Peranginan Genting Highlands. - Fail/JBPM Pahang
BENTONG: Seorang mangsa, Goh Siew Kim, 61, yang disangka meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di Kilometer (KM) 4.8, Jalan Genting Highlands, pada jam 1.15 petang, petang semalam dilaporkan masih hidup dan sedang menerima rawatan.
Dalam senarai awal mangsa yang dilaporkan meninggal itu, Goh turut disenaraikan bersama mangsa yang maut termasuk pemandu van tersebut, Wong Choun Chiet, 49, telah meninggal dunia di tempat kejadian bersama lima orang penumpang lain, iaitu Foong Ah Lan (67), Lee Moy (67), Ang Meng Hong (62) dan Seow Mee Tin berusia 72 tahun.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, selepas semua anggota keluarga tiba di Hospital Kuala Lumpur untuk pengesahan didapati mangsa yang disangka meninggal dunia, sedang dirawat di hospital.
“Kad pengenalan Goh Siew Kim, 61 tahun, dipercayai telah dipegang oleh mangsa yang telah meninggal dunia bernama Wong Ah Mooi @ Wong Seh Moi, 83 tahun.
“Pihak polis hanya dapat mengesahkan keadaan itu selepas keluarga mangsa tiba di hospital awal pagi tadi,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Jelasnya, enam orang penumpang telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan, seorang daripada penumpang, Chang Them Kong (70) meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Katanya, kemalangan itu berlaku apabila pemandu van persiaran tersebut telah hilang kawalan di satu jalan berselekoh dan terus terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan,” katanya.
“Kenderaan itu membawa 13 penumpang, seorang lelaki dan 12 wanita berusia antara 49 tahun hingga 78 tahun yang dalam perjalanan balik ke Pulau Pinang dari bercuti Pusat Peranginan Genting Highlands.
“Mohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan pihak polis masih menjalankan siasatan,” katanya
#kemalangan maut #jalan Genting Highlands #Polis Pahang #masih hidup