KAPIT: Lelaki yang hilang selepas perahu dinaiki bersama enam individu lain karam di Song, Ahad lepas ditemukan lemas hari ini.

Mayat Gawing Mancha, 47, ditemukan terapung pagi tadi di Sungai Rajang berdekatan sebuah kem pembalakan, 13 kilometer di hilir lokasi kejadian tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pusat kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Song menerima maklumat penemuan mayat terapung daripada orang ramai pada 6.57 pagi.

"Pasukan penyelamat tiba di lokasi penemuan mayat pada 7.50 pagi dan membawa mayat ke jeti Song untuk diserahkan kepada pihak polis," menurut kenyataan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam Ahad lepas, Gawing bersama enam penumpang termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dalam perjalanan ke pekan Song dari Rumah Ekeh, Nanga Apan sebelum perahu yang mereka naiki karam setibanya di muara Sungai Song.

Semua penumpang lain selamat dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Song DSP Rowney Michael Jalak sebelum ini dilaporkan berkata kejadian itu dipercayai berlaku apabila perahu yang dinaiki dipukul ombak sungai disebabkan fenomena pertembungan ombak Sungai Song dan Sungai Rajang.

-- BERNAMA