Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Mangsa serangan buaya di Kinabatangan ditemukan maut

Lokasi kejadian mangsa dibaham buaya di sungai Kampung Batu Putih, Kinabatangan.
Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas diserang buaya ketika mencuci bot di Kampung Batu Putih, semalam ditemukan meninggal dunia awal pagi tadi. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas diserang buaya ketika mencuci bot di Kampung Batu Putih, di sini semalam ditemukan meninggal dunia awal pagi tadi.

Mangsa, Rusli Mardin, 57, ditemukan orang awam pada 4.45 pagi di kawasan hilir sungai, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan keadaan anggota badan mangsa didapati masih lengkap semasa ditemukan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan awal di lokasi mendapati terdapat beberapa kesan gigitan pada perut serta leher sebelah kanan mangsa yang kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 6.31 petang semalam, sebelum menggerakkan enam anggota bersama sebuah jentera ke lokasi.

“Insiden tragis berkenaan berlaku ketika mangsa bersama anaknya sedang menjalankan aktiviti mencuci bot di sungai tersebut. Anak mangsa yang menyaksikan kejadian itu memaklumkan dia melihat sendiri ayahnya dibaham oleh seekor buaya sebelum terus hilang daripada pandangan.

“Pasukan penyelamat yang tiba di lokasi terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian di permukaan air. Operasi berkenaan ditamatkan pada 8 pagi tadi selepas kawasan sekitar disahkan selamat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement