Skip to main content

Malaysia

Mansuh AUKU: KPT henti prosiding tatatertib mahasiswa berkait kebebasan bersuara

51651320793_KPTM.jpg
KPT dalam kenyataan pada Jumaat berkata, langkah itu susulan penegasan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhubung usaha memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) [Akta 30].
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan semua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti awam dihentikan serta-merta.

KPT dalam kenyataan pada Jumaat berkata, langkah itu susulan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung usaha memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) [Akta 30].

Menurut KPT, Anwar ketika Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 13 menegaskan bahawa langkah yang boleh memberikan lebih kebebasan kepada mahasiswa perlu dilaksanakan segera sementara kerangka perundangan baharu sedang dibangunkan.

"Sehubungan itu, KPT telah meneliti langkah-langkah yang boleh dilaksanakan dalam kerangka perundangan sedia ada bagi menterjemahkan penegasan tersebut dengan segera," menurut kenyataan itu.

KPT berkata, beberapa peruntukan dalam AUKU serta Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pemakaian sebagai langkah pelaksanaan segera.

"Antara kebebasan yang dikenal pasti termasuk pengurusan persatuan dan kelab, pengurusan aktiviti pelajar serta kebebasan bersuara, berhimpun, menggunakan platform komunikasi dan mengedar serta menerbitkan dokumen.

"Bagaimanapun, KPT menegaskan kebebasan berkenaan perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab serta keluhuran undang-undang.

"Perbuatan yang melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta, kesalahan jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertib yang sah tetap tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa," katanya.

Bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tidak tertakluk kepada AUKU, KPT berkata, penelitian sama akan dilaksanakan terhadap peruntukan masing-masing berkaitan mahasiswa.

Langkah itu bertujuan memastikan kedua-dua institusi berkenaan selaras dengan pembaharuan yang dilaksanakan di bawah AUKU.

KPT berkata, kementerian kekal komited meneruskan pembangunan tatakelola pendidikan tinggi yang terbuka, tersusun dan inklusif melalui penglibatan semua pemegang taruh.

Usaha itu bagi memastikan penghasilan ekosistem pendidikan tinggi masa hadapan negara yang berkualiti.

Must Watch Video

Advertisement