[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Mapim anjur protes ‘The Day of Anger’, desak Israel diheret ke muka pengadilan

Pia Ernadya 17/06/2025 | 10:40 MYT
Mohd Azmi berkata peserta protes akan berarak dari bangunan Tabung Haji menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara.
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bakal menganjurkan perhimpunan aman ‘The Day Of Anger’ Jumaat ini, bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin serta Iran.

Ringkasan AI
  • Mapim akan menganjurkan perhimpunan aman The Day Of Anger pada Jumaat ini bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dan Iran, dengan peserta dijangka berarak ke Kedutaan AS dan menyerahkan memorandum kecaman.
  • Memorandum tersebut mengandungi tuntutan agar AS menghentikan sokongan kepada Israel, mendakwa Israel atas jenayah perang, serta menggesa perubahan dasar AS dan tindakan lebih tegas daripada PBB dan OIC.
  • Perhimpunan ini adalah reaksi terhadap serangan udara Israel yang menyebabkan kematian ramai rakyat Iran, termasuk pemimpin tentera dan saintis nuklear, serta serangan balas Iran yang melibatkan lebih 1,000 peluru berpandu dan dron.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid memaklumkan bahawa peserta protes akan berarak dari Bangunan Tabung Haji sejurus selesai solat Jumaat menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara.
“Kita menjangkakan kira-kira 5,000 peserta akan turun padang dan kita akan menyerahkan memorandum kecaman kepada pihak Kedutaan AS.
“Salah satu antara kandungan momerandum tersebut ialah (menyatakan) kecaman terhadap apa yang dilakukan oleh AS yang membenarkan Israel melakukan ini.
“Seterusnya, mendesak supaya AS menghentikan sokongan kepada Israel dan mesti menekan supaya Israel itu didakwa atas jenayah yang dilakukan di Gaza dan Tebing Barat... yang semuanya itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
“(Selain itu), kita juga menuntut supaya AS mengubah polisinya terhadap Israel (serta) menyatakan kekecewaan terhadap badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menangani krisis ini,” katanya.
Azmi berkata demikian ketika ditemui media di Kedutaan Republik Islam Iran di ibu negara, pada Selasa.
Dalam pada itu, Azmi turut memberi jaminan bahawa perhimpunan tersebut akan berlangsung secara aman, dan pihaknya bekerjasama sepenuhnya dengan polis.
“Kita telah beri notis awal dan akan terus berunding dengan pihak berkuasa termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,” katanya.
Jumaat lalu, Israel memulakan siri serangan udara secara mengejut sekali gus mengorbankan sebahagian besar kepimpinan tertinggi tentera Iran dan saintis nuklear utamanya.
Serangan itu didakwa bertujuan untuk melumpuhkan program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran.
Sebagai tindak balas, Iran telah melancarkan lebih 1,000 peluru berpandu dan dron ke arah wilayah Israel.
Setakat ini, seramai 224 orang telah terkorban sejak serangan Israel bermula pada Jumaat lalu, manakala 1,277 lagi telah dimasukkan ke hospital dengan 90 peratus daripada mereka adalah orang awam.
#The Day of Anger #Israel serang Iran #MAPIM #Protes Aman