Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

MAPIM desak Israel dihukum atas jenayah perang bunuh wartawan

Afiezy Azaman 26/08/2025 | 00:40 MYT
Para wartawan yang terkorban dalam serangan Israel ke atas Hospital Nasser di selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan berterusan tentera penjajah Israel membunuh wartawan di Gaza yang disifatkan sebagai jenayah perang paling kejam dan mesti segera dihukum.


Ringkasan AI
  • MAPIM kecam pembunuhan wartawan di Gaza sebagai jenayah perang paling kejam, gesa Israel segera didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
  • Lima wartawan terkorban dalam serangan ke atas Hospital Nasser, menjadikan jumlah keseluruhan wartawan terbunuh sejak perang bermula kepada 245 orang.
  • MAPIM desak PBB adakan sidang tergempar dan gesa kesatuan media global bertindak lebih tegas, termasuk kempen tekanan dan sekatan terhadap rejim Israel.


Dalam satu kenyataan, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan terbaharu ke atas Hospital Nasser di Khan Yuonis mengorbankan empat wartawan iaitu Hussam Al-Masri (Reuters), Mohammed Salama (Al Jazeera), Mariam Abu Daqa (Independent Arabia & AP), Moaz Abu Taha (NBC News), dan Ahmed Abu Aziz (Middle East Eye).

Katanya dengan insiden itu, jumlah wartawan yang terbunuh sejak perang pembantaian bermula kini meningkat kepada 245 orang.

“Ini bukan kerosakan sampingan, sebaliknya pembunuhan terancang ke atas penyampai kebenaran.

"Tindakan itu bertujuan menutup saksi jenayah genosid Israel dan membutakan dunia daripada melihat kekejamannya,” katanya.

BACA: Serangan berganda Israel ke atas Hospital Nasser: Apa kita tahu setakat ini

MAPIM menegaskan Israel perlu segera didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana melanggar Konvensyen Geneva dan undang-undang antarabangsa dengan membunuh wartawan secara sengaja.

Menurutnya, negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Perancis yang terus membekalkan senjata, dana serta perlindungan diplomatik kepada Israel juga tidak boleh terlepas daripada pertanggungjawaban.

“Persatuan wartawan antarabangsa seperti International Federation of Journalists (IFJ), Reporters Without Borders (RSF) serta kesatuan media di seluruh dunia mesti melangkaui sekadar kecaman.

"Mereka perlu menggerakkan kempen tekanan, tindakan undang-undang dan sekatan bersama terhadap rejim Israel,” jelasnya.

MAPIM turut mendesak Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang tergempar bagi menuntut perlindungan terhadap wartawan di Gaza serta meluluskan resolusi mengikat yang memastikan Israel dipertanggungjawabkan.

“Membunuh wartawan bukan sekadar tragedi Palestin, tetapi serangan terhadap hak masyarakat dunia untuk mengetahui kebenaran.

"Jika dunia membiarkan Israel terus menghapuskan wartawan tanpa hukuman, ia menjadi preseden berbahaya bahawa tiada wartawan di mana-mana yang selamat daripada keganasan negara,” katanya.

Beliau menambah, sejarah akan mengingati bukan sahaja kebiadaban Israel, tetapi juga sikap pengecut negara-negara yang memilih untuk berdiam diri.

“Setiap titisan darah wartawan akan terus membayangi nurani mereka yang kononnya membela hak asasi tetapi memilih senyap daripada menegakkan keadilan. Keadilan yang dilambatkan adalah keadilan yang dinafikan,” tegasnya.





#MAPIM #Israel #ICC #Gaza #wartawan