SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

MAPIM jemput 140 negara, pemimpin agama sertai misi '1000 Flotilla’ ke Gaza

Seth Akmal 21/08/2025 | 10:35 MYT
Mohd Azmi (tengah) berkata mesej utama flotila kali ini adalah bersifat politik, iaitu memecahkan kepungan Israel yang telah menjerut lebih dua juta penduduk Gaza. - Foto JAPEN
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menjemput 140 negara untuk menyertai misi seribu kapal flotila ke Gaza yang dijadual berlayar awal September ini.


Ringkasan AI
  • MAPIM menjemput 140 negara dan tokoh antarabangsa seperti Pope Leo XIV dan Dalai Lama untuk menyertai misi seribu kapal flotila ke Gaza, bertujuan memecahkan kepungan Israel dan memastikan perlindungan delegasi sukarelawan.
  • Ahli Parlimen Malaysia dan badan sivil mengeluarkan deklarasi rasmi, mengecam pembunuhan 239 wartawan di Gaza sejak Oktober 2023 dan menuntut Israel dipertanggungjawabkan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
  • Misi flotila bersifat politik dan kemanusiaan, dijadual berlepas dari Sepanyol pada 31 Ogos dan Tunisia pada 4 September, dengan harapan menarik campur tangan global terhadap krisis berpanjangan di Gaza.


Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata surat jemputan juga dipanjangkan kepada pemimpin negara dan tokoh agama seperti Pope Leo XIV dan pemimpin rohani Tibet, Dalai Lama.

Mohd Azmi berkata tujuan jemputan tersebut agar misi keamanan itu diiktiraf pelbagai negara supaya delegasi sukarelawan dilindungi daripada sebarang ancaman.

“Kami mahu misi keamanan ini diiktiraf oleh pelbagai kerajaan di dunia ini dan memastikan kami dilindungi,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan diserang oleh pasukan tentera rejim zionis dan berharap agar pemimpin dunia masuk campur sekiranya ia berlaku.

“Kini kami bakal berdepan dengan misi yang berisiko tinggi, kemungkinan untuk diserang itu ada dan kami mahu kerajaan-kerajaan melihat bahawa selagi tiada tindakan campur tangan di Gaza, Gaza akan musnah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media bersama Ahli Parlimen rentas parti di Parlimen, di sini pada Khamis.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Malaysia bersama wakil masyarakat sivil, organisasi media dan badan kemanusiaan hari ini mengeluarkan deklarasi rasmi mengecam pembunuhan wartawan, pekerja media dan pencari kebenaran di Gaza.

Deklarasi itu menuntut Israel bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan mekanisme antarabangsa lain.

Sejak Oktober 2023, seramai 239 wartawan terbunuh, yang menurut mereka merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva.

Selain itu, mereka menyeru PBB, UNESCO dan badan persatuan wartawan dunia mengambil tindakan segera untuk melindungi wartawan di zon konflik, terutamanya di Palestin yang diduduki.

Mesej utama flotila kali ini adalah bersifat politik, iaitu memecahkan kepungan Israel yang telah menjerut lebih dua juta penduduk Gaza sejak hampir dua dekad lalu.

Misi pada kali ini dijadual berlepas dari Sepanyol pada 31 Ogos dan Tunisia pada 4 September.



#Palestin #Gaza #1000 Flotilla #MAPIM #Pope Leo XIV #bantuan kemanusiaan #Dalai Lama