MAQIS rampas 360 payung buluh tiada permit import di Langkawi

Adie Sufian Zulkefli
Januari 9, 2020 02:53 MYT
Rampasan seberat 228 kilogram dengan sebanyak 360 unit produk tersebut dianggarkan bernilai RM9,600.00. - Foto MAQIS
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 360 unit payung yang diperbuat daripada buluh bernilai RM9,600 di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Ahad lalu.
Pengarah MAQIS Kedah Lily Rosalind Paul Pakianathan berkata produk berasaskan keluaran pertanian itu dirampas selepas didapati tidak mempunyai permit import yang sah.
"Hasil pemeriksaan di kompleks kargo tersebut, MAQIS telah menahan 12 kotak yang setiap satunya mengandungi 30 unit payung yang diperbuat daripada buluh, yang tidak mempunyai permit import yang sah daripada Jabatan MAQIS dan Sijil Fitosanitari daripada negara asal.
"Rampasan seberat 228 kilogram tersebut dianggarkan bernilai RM9,600.00," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lily Rosalind berkata, kesemua buluh yang dirampas akan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) atas kesalahan tidak mempunyai dokumen permit import.
Sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun, atau kedua-duanya, di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.
Pihak MAQIS sentiasa peka dan bersedia melaksanakan tanggungjawab memantau dan melakukan pemeriksaan ke atas kemasukan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian yang masuk mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.
#Kedah #Langkawi #maqis #payung buluh #permit import #produk berasaskan keluaran pertanian #rampasan