MELAKA TENGAH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Melaka berjaya mematahkan cubaan membawa masuk barangan pertanian dan produk hasilan haiwan secara tidak sah dari negara jiran, semalam.

Pengarah Maqis Melaka, Nora Dinah Abdul Rahman berkata rampasan barangan susu tin, sosej daging, dan telur segar itu dirampas daripada 10 individu di Terminal Feri Antarabangsa, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Muara Sungai Melaka.

Katanya, kesemua barangan itu disembunyikan di dalam beg pakaian bagi mengaburi mata Pegawai Penguat Kuasa Maqis.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai Maqis mendapati terdapat segelintir penumpang feri cuba membawa masuk barangan hasilan haiwan seperti susu tin, sosej daging, dan telur segar dengan menyembunyikannya di dalam beg pakaian bagi mengaburi Pegawai Penguat Kuasa Maqis.

“Berikutan itu, pegawai Maqis dengan kerjasama pihak Kastam Diraja Malaysia berjaya mematahkan cubaan membawa masuk barangan pertanian yang dibawa tanpa sebarang dokumen pengimportan seperti Permit Import Maqis dan Sijil Kesihatan Veterinar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran produk haiwan dan hasilan haiwan tanpa permit import Maqis menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama. 

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak Maqis  sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk ini bagi menjamin keselamatan keluaran haiwan dan hasilan haiwan yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” tambahnya.