MAQIS rampas cubaan bawa masuk kucing dari Indonesia

Adie Sufian Zulkefli
Februari 20, 2021 06:01 MYT
Kucing yang dianggarkan bernilai RM500 itu ditahan sejurus tiba bersama pemilik dengan kapal layar kerana tidak mempunyai permit import oleh MAQIS. - Gambar ihsan MAQIS
LANGKAWI: Cubaan membawa masuk dua ekor kucing import dari Indonesia melalui Terminal Penumpang Feri Kuah, Langkawi dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Kucing dianggarkan bernilai RM500 itu ditahan sejurus tiba bersama pemilik dengan kapal layar kerana tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh MAQIS.
Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind berkata, hasil pemeriksaan mendapati, pengimport gagal mengemukakan permit import selain tiada sijil kesihatan serta nombor mikrocip pada kedua-dua kucing itu.
"Perbuatan mengimport haiwan hidup tanpa permit import adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728).
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lily berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport.
"Pemeriksaan berterusan itu dilakukan bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara," katanya lagi.
#kucing #Indonesia #kucing import #maqis #permit import #sijil kesihatan #nombor mikrocip