MALAYSIA

Mara ambil Putri Qisya sebagai anak angkat

Sinar Harian 08/07/2025 | 23:50 MYT
Tangkap layar Facebook milik Asyraf Wajdi ketika menziarahi Putri Qisya. - Foto Sinar Harian
ALOR SETAR: Hasrat ibu yang ingin melihat anak sulungnya menjejakkan kaki ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bakal direalisasikan apabila Majlis Amanah Rakyat (Mara) menjadikan Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 12, sebagai anak angkat untuk memastikan masa depannya terjamin.

Putri Qisya merupakan anak kepada pasangan Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak dan Allahyarhamah Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi yang terkorban bersama empat anak mereka dalam tragedi di Sungai Korok, Jitra, pada Sabtu.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya terharu dengan ketabahan Putri Qisya yang berhasrat untuk mengubah kehidupannya menerusi pendidikan di MRSM, sebagaimana impian arwah ibunya sebelum meninggal dunia.

“Hampir menitis air mata, namun saya tahan sebak di dada tatkala nenek kepada Adik Putri Qisya Nur Izzat, menyampaikan impian arwah ibunya dan juga hasrat Qisya sendiri untuk masuk ke MRSM.

“Tengah hari tadi, saya bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkesempatan menziarahi keluarga adik Qisya, yang punyai hati yang cukup kental, di kediamannya yang kini tinggal bersama datuk dan neneknya,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Selasa.

Menurut Asyraf Wajdi, Ahmad Zahid terus mengarahkan agar Mara mengambil Putri Qisya Nur Izzat sebagai anak angkat, dan Mara akan membantu sepenuhnya memastikan anak yatim piatu itu mendapat tempat di MRSM dan memantau perkembangannya sehingga ke peringkat tertinggi.

“InsyaAllah, Mara akan bantu sebaik mungkin. Mara akan pastikan laluan pendidikan terbaik buat adik Qisya. Dia tidak keseorangan sebaliknya ramai sedia membantu, termasuk Mara untuk memastikan masa depannya terjamin,” ujarnya.

Tambah beliau, Mara terpanggil untuk memastikan pendidikan Putri Qisya tidak terhenti walaupun selepas kehilangan kedua ibu bapanya, lebih-lebih lagi anak itu menunjukkan kesungguhan untuk menimba ilmu.

“Waktu awal sejurus dia nampak saya, wajahnya yang sugul mengukirkan senyuman kepada saya semacam sudah kenal. Sepanjang perbualan langsung tidak menampakkan air matanya, walaupun saya dapat rasakan kehilangan yang teramat sangat terhadap keluarganya yang tercinta.

Sebab itulah, kecekalan dan ketabahan adik Qisha ini benar-benar meruntun jiwa saya,” katanya.

Menurutnya lagi, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang bekerja sebagai peniaga roti canai ini juga menyatakan hasrat tidak mahu mengharapkan bantuan zakat sebagaimana diterima oleh keluarganya sebelum ini.

“Insya-Allah, Mara akan memantau Qisya sebagai anak angkat kami dan memastikan dia mendapat pendidikan yang terbaik sehingga berjaya ke peringkat lebih tinggi.

“Semoga ALLAH SWT pelihara hatinya yang tabah dan menerangi jalan hidupnya dengan cahaya ilmu, kasih sayang dan masa depan yang gemilang,” katanya.

Putri Qisya Nur Izzat merupakan satu-satunya anak yang terselamat dalam tragedi menyayat hati di Sungai Korok, Jitra, meragut enam nyawa ahli keluarganya serentak.

Dia kini menumpang kasih pada datuk, nenek serta keluarga terdekat di Kampung Bohor Karang.

Dalam kejadian Sabtu lalu, kereta Proton Iswara dinaiki keluarga Qisya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam terusan di Sungai Korok.

Mangsa yang terkorban ialah ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik beradik iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, enam bulan.

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang pada malam Isnin. - Sinar Harian






#Asyraf Wajdi Dusuki #enam beranak maut #Sungai Korok #MRSM #Anak angkat #Putri Qisya