KOTA KINABALU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyampaikan hasrat untuk menamakan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kinarut sebagai MRSM Tun Musa Aman, bagi menghargai sumbangan besar Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 itu.
Hasrat tersebut disampaikan Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Tun Musa, Asyraf Wajdi memberitahu cadangan itu turut dizahirkan bagi pihak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai penghargaan terhadap peranan dan sumbangan besar beliau dalam pembangunan pendidikan di Sabah.
"Penamaan semula MRSM Kinarut itu dilihat sebagai satu pengiktirafan bermakna terhadap jasa serta komitmen Tun Musa dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan modal insan di negeri ini," menurut hantaran tersebut.
Upacara pemasyhuran bagi pertukaran nama MRSM berkenaan dijangka dilangsungkan dalam masa terdekat.
Turut mengiringi Asyraf Wajdi pada kunjungan hormat tersebut ialah Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman; Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan MARA, Sahrizal Mohd Saderi serta Pengarah MARA Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sharhadat.
-- BERNAMA