JOHOR BAHRU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM30 juta kepada usahawan dalam kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri tersebut bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata peruntukan itu telah diagihkan kepada 285 usahawan melalui kemudahan Skim Pembiayaan Perniagaan MARA bertujuan membantu usahawan meningkatkan lagi kapasiti mereka dalam bidang perniagaan dan industri yang diceburi.

"Selain bantuan kepada usahawan, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) turut menyalurkan Bantuan Persekolahan kepada 100 orang pelajar yang kurang berkemampuan meliputi tiga buah sekolah terpilih termasuk bantuan cermin mata.

"Kementerian juga memberi geran dalam bentuk kemudahan inkubator MARA melalui 'Program Start-Up Accelerator' (STAR) dalam bidang Teknologi Kreatif dan Multimedia untuk lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA yang mempunyai minat mahu meneruskan kerjaya sebagai usahawan.

"Selain itu, bantuan geran peralatan turut diberikan kepada usahawan yang telah melaksanakan perniagaan tetapi masih kekurangan modal daripada sudut peralatan dan sebagainya," katanya.

Rubiah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jom Bisnes Negeri Johor 2023 di Kompleks Usahawan Teknologi Mara, Technovation Park, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini pada Isnin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah.

Sementara itu, Rubiah berkata Program Gate to Global (GTG) anjuran MARA membuka peluang kepada Bumiputera untuk turut bersaing di peringkat global.

Menurutnya, usahawan yang berpotensi dan memiliki pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dapat menyertai GTG melalui promosi, ekspo antarabangsa dan seterusnya mendapat akses untuk mengesksport produk mereka ke luar negara melalui padanan perniagaan dengan penggiat industri.

"Setakat ini, seramai 167 usahawan terlibat di bawah program GTG ini, sebanyak 57 usahawan daripada jumlah tersebut. Mereka adalah usahawan yang dibantu kementerian, mengadakan promosi dengan bekerjasama dengan agensi tertentu melalui ekspo dan pameran di luar negara.

"Syarat untuk menyertai GTG adalah sekurang-kurangnya produk yang dihasilkan dipasarkan di dua negara pada peringkat antarabangsa.

"Alhamdulillah, tahun lepas kita telah mengadakan ekspo dan pameran di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kementerian membawa tiga usahawan ke sana untuk membuat jaringan perniagaan dengan pihak yang berkepentingan," katanya.

Mengulas mengenai Program Jom Bisnes Negeri Johor 2023 yang dianjurkan MARA, beliau berkata ia memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan kepada orang ramai berkenaan program keusahawanan dan pendidikan yang disediakan agensi itu.

-- BERNAMA