MARA, MyPAC perkukuh kerjasama bantu taja pelajar Bumiputera dalam bidang perakaunan

Asyraf Wajdi berkata, pemilihan pelajar bagi program itu mengutamakan kepada mereka yang mengambil mata pelajaran perakaunan, khususnya pelajar MRSM yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Lima pelajar bumiputera terpilih menerima tajaan penuh di bawah Program Tajaan Pendidikan Hibrid MARA (MESH)-Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) bagi tahun ini, manakala 30 lagi pelajar yang menerima surat tawaran dijangka mendapat tajaan berkenaan tahun hadapan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemilihan pelajar bagi program itu mengutamakan kepada mereka yang mengambil mata pelajaran perakaunan, khususnya pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan.
"Pemilihan pelajar ini penting kerana kita ada 'yang terbaik daripada yang terbaik' melalui MRSM. Walaupun MRSM memberi tumpuan kepada aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kita juga mempunyai jurusan yang menawarkan mata pelajaran perakaunan bagi pelajar yang berminat.
"Bagi pelajar sekolah harian dan sekolah berasrama penuh lain, mereka boleh memohon melalui program profesional MARA yang ditawarkan di Kolej Profesional MARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM)," katanya selepas menyempurnakan penyerahan surat tawaran kepada peserta Program MESH-MyPAC, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, pelajar terpilih akan menerima tajaan penuh meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, yuran peperiksaan serta penempatan kerjaya bersama firma perakaunan terkemuka.
Asyraf Wajdi berkata, usaha itu antara komitmen MARA untuk memberi tumpuan kepada bidang berimpak tinggi seperti perakaunan yang menuntut integriti, ketelitian analitik dan mobiliti global, nilai yang diyakini mampu dimiliki oleh belia bumiputera.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) masing-masing dengan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan MyPAC bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang perakaunan profesional negara.
MARA dalam kenyataan memaklumkan, MoU antara MARA dan ACCA merupakan lanjutan kali kedua selepas tamat pada tahun ini, dan akan diteruskan untuk tempoh tiga tahun lagi sebagai sebahagian daripada komitmen memperkukuh bakat profesional Bumiputera.
Sejak kerjasama MARA dan ACCA Malaysia dimeterai pada 2021, sebanyak 1,420 graduan ACCA telah dilahirkan manakala 263 pelajar aktif sedang ditaja di dalam dan luar negara, kebanyakannya daripada komuniti luar bandar serta isi rumah B40.
"Melalui MoU terbaharu antara MARA dan MyPAC, pelaksanaan Program MESH khusus bagi laluan kelayakan ACCA akan memperkukuh rantaian pembangunan akauntan bertauliah bumiputera di dalam dan luar negara melalui ekosistem pendidikan, latihan profesional dan peluang penempatan kerjaya yang menyeluruh," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


