MALAYSIA
MARA pantau keadaan, prestasi akademik dan kebajikan Putri Qisya - Asyraf Wajdi

Putri Qisya (foto) dijadikan anak angkat MARA dan akan dijaga kebajikannya sehingga ke peringkat universiti. -Gambar fail/Sinar Harian
JITRA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memantau keadaan dan prestasi pembelajaran Putri Qisya Nur Izzat, 12, anak sulung mangsa tragedi lemas di Sungai Korok, yang kini dijadikan anak angkat agensi itu.
Ringkasan AI
- MARA akan terus memantau prestasi akademik Putri Qisya Nur Izzat, anak sulung mangsa tragedi lemas di Sungai Korok, dan menyediakan tuisyen khas bagi membantunya menghadapi ujian kemasukan ke MRSM.
- Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan usaha berterusan akan dilakukan agar impian Putri Qisya untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM tercapai, termasuk kerjasama dengan sekolahnya untuk bantuan bersesuaian.
- Putri Qisya dijadikan anak angkat MARA dan akan dijaga kebajikannya sehingga ke peringkat universiti, selepas kehilangan kedua ibu bapa dan empat adik-beradiknya dalam tragedi lemas baru-baru ini.
"Kita akan pantau dari sekarang agar impian beliau untuk ke MRSM tercapai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu 2025, di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata pihaknya turut mengarahkan Pejabat MARA Negeri Kedah untuk bertemu dengan pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak Baru di Alor Setar, tempat Putri Qisya bersekolah, bagi membincangkan bentuk bantuan bersesuaian.
"Kita harap prestasi pelajarannya tidak terjejas akibat tragedi ini. Bukan mudah untuk seorang anak kecil menghadapi musibah sebesar itu, sebab itulah saya nasihatkan beliau supaya terus berusaha mencapai cita-cita, demi memenuhi harapan dan wasiat kedua ibu bapanya," katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata MARA akan menjaga kebajikan Putri Qisya sebagai anak angkat agensi itu sehingga ke peringkat universiti.
Putri Qisya sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran di MRSM selepas tamat tahun enam, demi merealisasikan impian arwah ibu dan bapanya.
Beliau merupakan anak sulung pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang dijumpai maut bersama empat anak mereka di dalam kereta Proton Iswara yang dipercayai terbabas ke dalam Sungai Korok, dekat sini Isnin lalu.
Empat anak mereka yang turut terkorban adalah Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami