MALAYSIA
MARA perkenal program tingkat penyertaan bumiputera dalam tenaga elektrik voltan tinggi

Zulfikri melawat Hi-Volt Academy di IKM Seberang Perai Utara semasa membuat lawatan ke IKM berkenaan hari ini. - Gambar Bernama
TASEK GELUGOR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui Institut Kemahiran MARA (IKM) Seberang Perai Utara (SPU) memperkenalkan program baharu Electrical Specialist Competency (Distribution) 11 kilovolt (kV) bagi meningkatkan penyertaan tenaga kerja mahir bumiputera dalam bidang tenaga elektrik voltan tinggi di negara ini.
Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman berkata inisiatif itu sejajar dengan usaha memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain memastikan lebih ramai tenaga kerja bumiputera memiliki kelayakan kompetensi tinggi yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
Beliau berkata ketika ini penyertaan bumiputera dalam bidang terbabit dianggarkan hanya kira-kira 10 peratus dan yakin jumlah itu dapat ditingkatkan melalui pelaksanaan program berkenaan sekali gus memenuhi permintaan tinggi pasaran kerja dalam sektor berkaitan.
"IKM SPU merupakan institusi pertama memperkenalkan program ini yang dirangka khusus untuk melahirkan Penjaga Jentera Kategori BO, iaitu tenaga mahir yang berkelayakan dalam pengendalian sistem voltan tinggi 11 kV."Ia dilihat signifikan kerana industri tenaga elektrik merupakan sektor strategik dan kritikal kepada pembangunan negara. Tambahan pula, permintaan tenaga kerja mahir dalam bidang ini semakin meningkat seiring dengan kemajuan pesat sektor perindustrian, infrastruktur dan pembangunan bandar," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program berkenaan di IKM SPU di sini hari ini.
Zulfikri berkata program itu dirangka dengan dua mod pengajian fleksibel, iaitu secara sepenuh masa selama lima bulan atau separuh masa selama 10 bulan.
Pendekatan itu katanya, bukan sahaja memberikan peluang kepada mereka yang ingin menumpukan sepenuh masa kepada pengajian, tetapi juga membuka ruang kepada tenaga kerja industri yang ingin mengikuti latihan tanpa perlu meninggalkan kerjaya sepenuhnya.
"Kohort pertama melibatkan 40 pelajar akan memulakan pengajian pada bulan November ini dan kita percaya mereka akan menjadi perintis kepada kejayaan program ini, sekali gus membuka jalan kepada lebih ramai pelajar untuk menyertai program tersebut pada masa akan datang.
"Dengan adanya sijil itu membolehkan mereka untuk memegang jawatan lebih tinggi dengan gaji permulaan yang lumayan," katanya.
Zulfikri berkata IKM telah menerima fasiliti latihan utama merangkumi dua lot pencawang pembahagian utama 33 kV serta tujuh lot pencawang elektrik 11 kV yang akan digunakan sebagai platform latihan praktikal bertaraf industri untuk program berkenaan dengan kelulusan dan pentauliahan diberikan oleh ST pada 11 Julai lepas, setelah melalui proses pegauditan ketat.
Mengenai perancangan masa hadapan katanya, MARA melalui IKM SPU turut merancang untuk memperkenalkan program baharu Penjaga Jentera Elektrik Kategori BO (33 kV), selain cadangan membangunkan fasiliti latihan bagi kategori B1 dan B4 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami