KUALA LUMPUR: Anak penjual pisang goreng yang memperoleh keputusan cemerlang 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, ditawarkan melanjutkan pengajian ke Jordan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau mencadangkan Fakhrul Iman Zainudin, 18, yang juga hafiz al-Quran 30 juzuk mengikuti program khas ke Jordan yang disediakan Mara kepada pelajar-pelajar tahfiz cemerlang.
Advertisement
Kata Asyraf Wajdi, Fakhrul yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, Port Dickson hadir bersama ibu bapanya ke pejabat beliau di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bagi meneroka peluang pembiayaan pendidikan Mara.
“Saya amat teruja melihat slip keputusan Fakhrul dan terus mencadangkannya supaya menyertai program khas ke Jordan yang Mara sediakan bagi pelajar tahfiz cemerlang untuk memperdalami bidang syariah dengan pengkhususan dalam ekonomi dan kewangan Islam.
"Saya sempat berkongsi pengalaman saya dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam sebelum terlibat politik, agar Fakhrul lebih terbuka mindanya dan tidak hanya melihat bidang syariah, tetapi perluaskan skop kepada bidang kepakaran kewangan syariah yang diperlukan negara masa depan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Asyraf Wajdi menjelaskan, perkara itu juga disuarakan kerana Malaysia terkenal sebagai negara peneraju industri perbankan dan kewangan Islam global.
Dalam masa sama, beliau turut menitipkan pesanan kepada Fakhrul supaya tidak melupakan pengorbanan ibu bapa yang membesarkannya dengan hasil jualan pisang goreng.
“Insya-Allah satu hari nanti bila Fakhrul berjaya, jangan lupa ayah dan mak yang memerah keringat hanya dengan hasil jualan pisang goreng membesarkan Fakhrul.
"Ingat, dengan ilmu sahaja yang boleh mengubah kehidupan keluarga, dengan izin Allah SWT. Demikianlah pesanan akhir saya kepada Fakhrul sebelum saya ambil kesempatan menguji atau 'tebuk' hafazan al-Quran beliau,” ujarnya.
"'Kalau berjaya ujian tebuk ni, baru Mara pertimbangkan untuk lulus permohonan Fakhrul!'. Gurau saya sambil tangan Abang Din Goreng Pisang (nama gelaran ayah Fakhrul) mengusap belakang Fakhrul memberinya semangat," kata beliau.
Media pada Rabu melaporkan, Fakhrul memperoleh keputusan cemerlang 11A+ dalam SPM kerana usahanya yang bersungguh-sungguh mahu membanggakan ibu bapanya yang mencari rezeki dengan berniaga pisang goreng dan laksa.
Dia juga dinobatkan sebagai pelajar paling cemerlang di sekolahnya.
Video memaparkan dia kelihatan sebak dan mengelap air mata ketika mengambil keputusan peperiksaan, sambil ditemani bapanya turut tular di media sosial.