Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersetuju menanggung kos rawatan dan membawa pulang pegawainya, Mohamad Sahar Mhd Noor, 57 tahun yang diserang strok di London 4 Julai lalu.

Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya juga akan berusaha memenuhi syarat yang dikenakan bagi tujuan keselamatan pesakit.

Katanya, semua urusan melibatkan Mohammad Sahar yang diserang strok di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow akan diuruskan dengan teliti dan segera.

"Sekarang ini kita akan bawa dia (Mohamad Sahar Noor) balik dan pihak hospital London memberi pelepasan seawal 1 Ogos dengan syarat perlu ada doktor dan jururawat dalam pesawat tersebut," Datuk Seri Ismail berkata semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO bahagian Kuala Terengganu pada Sabtu.

Mohammad Sahar

Ketua kerani di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, KKTM Negeri Sembilan, Mohamad Sahar dilaporkan ke London untuk menghadiri majlis graduasi anak perempuannya, Amirah Mohamad Sahar di Universiti Brunel di Uxbridge.

Bagaimanapun, Mohamad Sahar diserang angin ahmar setibanya di Heathrow.

Bil rawatannya juga mencecah RM200 ribu selepas hampir sebulan menerima rawatan di Charing Cross Hospital, London termasuk tiga minggu di unit rawatan rapi ICU.

Sehingga hari ini, menerusi laman gofundme.com/saharnoor, sejumlah RM269,207.27 dana sudah dikumpul dari lebih 1,800 orang dalam masa tiga hari.

Jumlah itu melepasi sasaran RM133,131.21 yang ditetapkan oleh anaknya Amirah Sahar yang menggunakan platform gofundme.com tersebut untuk mendapatkan sumbangan dana khusus untuk membantu bapanya.

Penderitaan Mohamad Sahar mula menarik perhatian beberapa pihak dari Malaysia dan luar negara dengan bantuan kewangan tidak putus-putus disalurkan bagi meringankan beban beliau.

Tinjauan Astro AWANI di gofundme.com menunjukkan keprihatinan masyarakat dunia untuk menghulurkan bantuan bagi mereka yang memerlukan.