KUALA LUMPUR: Warga Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diseru untuk bersama-sama membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam melaksanakan pelbagai strategi demi untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha itu bagi memastikan sekuriti makanan menjadi agenda utama untuk menjaga kebajikan rakyat serta memastikan daya tahan negara di tahap yang tinggi untuk mendepani pelbagai cabaran global.

Katanya, pelbagai kejayaan dan sumbangan MARDI pada tahun lalu telah memberi impak besar kepada negara dalam memastikan keterjaminan makanan.

“Usaha ini dapat dilihat menerusi pelancaran Bawang Merah MARDI, Nanas Varieti MS16, Klon dan Inovasi Kopi Liberica Baharu MARDI dan empat kelapa hibrid baharu MARDI.

“Kejayaan ini juga adalah hasil usaha keras keseluruhan warga MARDI yang terbukti menerusi penerimaan anugerah pegawai MARDI di peringkat antarabangsa iaitu di Malaysia Technology Expo (MTE 2023), International, Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2023) dan Japan International Award For Young Agro Reseachers 2023 di Tokyo Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MARDI, Majlis Penghargaaan Pesara Dan Khidmat Setia Tahun 2024 Dan Majlis Penyampaian Anugerah Staf Cemerlang Bulanan Tahun Tahun 2023 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.

Seramai 231 warga MARDI menerima APC kerana menunjukkan prestasi yang amat baik pada tahun 2023.

Pada majlis sama, MARDI turut meraikan empat pegawai yang dianugerahkan khidmat setia dan 66 orang pegawai yang akan bersara dan bersara pada  2024.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani dalam kenyataan berkata, penganugerahan tersebut bukan sahaja merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang cemerlang, malah perlu dilihat sebagai penyuntik semangat dan pencetus azam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang.

“Sebab itu, kita turut memberi penghargaan kepada 35 orang pesara wajib, 14 orang pesara secara pilihan, sembilan orang pesara atas sebab kesihatan dan lapan  orang pegawai yang telah meninggal dunia di dalam perkhidmatan.

“Selain itu, majlis ini diadakan untuk merakamkan penghargaan MARDI kepada empat orang yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan penuh taat setia bersama MARDI untuk memastikan visi serta misi MARDI terlaksana,” tambahnya.