MALAYSIA

MARDI sasar kurangkan import bawang merah 30 peratus menjelang 2030

Bernama 27/09/2025 | 08:34 MYT
Sasaran itu sejajar dengan usaha memperkukuh sekuriti makanan negara kerana Malaysia kini mengimport hampir 100 peratus keperluan bawang merah. - Unsplash
BACHOK: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyasarkan pengurangan kebergantungan negara terhadap import bawang merah sehingga 30 peratus menjelang 2030 melalui pelaksanaan program pengeluaran benih tempatan secara berstruktur.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata sasaran itu sejajar dengan usaha memperkukuh sekuriti makanan negara kerana Malaysia kini mengimport hampir 100 peratus keperluan bawang merah dengan nilai melebihi RM2.6 bilion setahun.

Beliau berkata projek perintis penanaman di Bachok menunjukkan hasil positif apabila usahawan pertama di negeri berkenaan Mohd Fauzi Abu Bakar, 43, berjaya mengusahakan lebih 10,000 polibeg selepas dibimbing MARDI sejak 2023.

"Beliau (Mohd Fauzi) bermula dengan hanya 20 kilogram (kg) benih di beberapa batas dan kini berkembang kepada 10,000 polibeg di kawasan seluas 0.324 hektar dengan hasil mencecah lima tan metrik setiap musim. Ini membuktikan ia boleh diusahakan secara komersial dalam negara," katanya selepas melawat Projek Pengeluaran Benih Bawang MARDI di Kampung Beris Lalang di sini hari ini.

Beliau berkata MARDI memberi tumpuan kepada pembangunan benih tempatan untuk diagihkan kepada usahawan tani di bawah bimbingan Jabatan Pertanian, manakala pengusaha seperti Fauzi akan bertindak sebagai pengeluar utama benih.

Mohamad Zabawi berkata melalui sistem tanam semula, sebiji bawang merah mampu menghasilkan tiga ulas baharu, sekali gus membolehkan petani meluaskan kawasan tanaman dari musim ke musim dan jika diperluas, sasaran pengurangan import 30 peratus menjelang 2030 diyakini dapat dicapai.

"Setakat ini, bawang merah ditanam secara berperingkat di kawasan baharu di Beris Lalang sejak Ogos lepas dengan anggaran hasil tuaian 5,000kg pada Oktober ini. Penanaman ini akan dikembangkan kepada 30,000 polibeg menjelang 2026 dengan jangkaan hasil 15,000kg semusim.

"Selain itu, projek di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Telong, Bachok turut berjaya menghasilkan 2,400kg benih setiap musim. Secara keseluruhan, pengeluaran benih negara dijangka mencecah 50,000kg pada 2026 melalui dua musim penanaman," katanya.

Beliau menambah, MARDI mengenal pasti beberapa negeri lain yang berpotensi membangunkan tanaman bawang merah, antaranya Perak, Selangor dan Sabah, dengan hasil diunjurkan antara lapan hingga sembilan tan metrik sehektar bergantung kepada kaedah penanaman.

"Pasaran tempatan sangat luas kerana bekalan masih tidak mencukupi. Harga jualan antara RM7 hingga RM10 sekilogram memberikan pulangan baik kepada petani, malah berpotensi dikembangkan kepada produk hiliran seperti bawang merah goreng pada masa depan," katanya.

Sementara itu, pengusaha bawang merah di Kelantan Mohd Fauzi berkata penanaman yang dimulakan sejak awal 2023 kini membuahkan hasil apabila tanaman percubaan empat batas berkembang menjadi ribuan polibeg.

"Minat menanam bawang merah timbul selepas menerima tawaran dan bimbingan daripada MARDI yang menyediakan panduan teknikal serta sokongan melalui projek percubaan.

"Pada mulanya saya menanam bawang merah kerana ia lebih mudah dijaga berbanding sayur, malah mampu menghalau serangga daripada tanaman lain seperti cili," katanya.

Mohd Fauzi berkata selepas beberapa percubaan awal, beliau berjaya mengusahakan 500 polibeg dengan 20kg benih dan memperoleh hasil 115kg bawang merah kering.

Beliau berkata penanaman bawang merah sesuai untuk musim panas, manakala pada musim tengkujuh beliau beralih kepada tanaman alternatif seperti sawi dan bayam sebelum menyambung semula projek pada awal tahun.

"Setakat ini, permintaan bawang merah segar di Kelantan amat menggalakkan sehingga saya tidak mampu memenuhi tempahan pasar raya. Jualan kini hanya tertumpu di sekitar kampung dengan harga antara RM6 hingga RM7 sekilogram, manakala bawang berkualiti premium boleh mencecah RM10," katanya.

-- BERNAMA

#bawang merah #import #MARDI #sekuriti makanan negara #keperluan pengguna