ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah (IPMZ Kuala Kedah) menahan sebuah bot pukat tunda yang disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan muara Sungai Kedah, awal pagi Jumaat.
Pengarah Maritim Zon Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bertindak atas maklumat risikan yang diterima, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot pukat tunda dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya di sekitar muara Sungai Kedah.
“Pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan yang dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru membawa minyak disyaki diesel melebihi kapasiti yang dibenarkan sebagaimana ditetapkan dalam syarat sah lesen, sekali gus dipercayai melanggar peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 13,000 liter minyak disyaki diesel di dalam tangki bot berkenaan. Kesemua kru, bot serta hasil rampasan telah dibawa ke Jeti IPMZ Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aktiviti perikanan dilaksanakan secara sah serta tidak menjejaskan kepentingan industri perikanan dan keselamatan perairan negara.
“Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat antara anggota risikan dan pasukan operasi dalam memastikan setiap maklumat yang diterima diambil tindakan secara pantas dan berkesan.
Maritim Malaysia menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang atau syarat sah lesen yang telah ditetapkan,” ujarnya.