[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Maritim gagalkan seludup bijih timah bernilai RM3.7 juta di perairan Tanjung Punggai

Bernama 01/10/2025 | 12:45 MYT
Mohammad berkata operasi berkenaan membuktikan kesiapsiagaan pihaknya membanteras cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjadikan perairan negara sebagai laluan aktiviti jenayah. - Gambar fail/APMM
KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah bot kargo sarat dengan 530 guni serbuk bijih timah dianggarkan bernilai RM3.7 juta di perairan timur Johor awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohammad Othman berkata hasil risikan dan maklumat awam membawa kepada penahanan bot kargo dari Indonesia pada 4.45 pagi di kedudukan 1.5 batu nautika timur laut Tanjung Punggai.

"Pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan empat kru termasuk seorang tekong, semuanya warga Indonesia berusia antara 26 hingga 55 tahun. Mereka membawa 530 guni berisi bijih timah seberat hampir 26,500 kilogram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM4.5 juta termasuk bot dan peralatan.

Katanya semua kru ditahan untuk siasatan di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam serta Akta Imigresen 1963 ekoran dokumen pengenalan diri yang meragukan.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan hasil negara, malah boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan perairan," katanya.

Mohammad berkata operasi berkenaan membuktikan kesiapsiagaan pihaknya membanteras cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjadikan perairan negara sebagai laluan aktiviti jenayah.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam menyalurkan maklumat sekiranya mengesan kegiatan mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili di talian 07-8916591.

-- BERNAMA

#Akta Imigresen #Maritim Malaysia #aktiviti jenayah #bijih timah