[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Maritim Kelantan rampas 1.2 juta batang rokok putih di Pasir Mas

Bernama 10/04/2025 | 05:33 MYT
Erwan Shah (tengah) bersama pegawai menunjukkan sebahagian rokok putih yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali hari ini. - Foto Bernama
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan merampas 1.2 juta batang rokok putih dipercayai diseludup dari Thailand dalam serbuan di tebing Sungai Pengkalan Ekor, Pasir Mas pada Selasa lepas.
Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan kira-kira pukul 8 pagi selepas pihaknya mengesan sebuah bot pancung bergerak laju dan mencurigakan di muara Sungai Kelantan ketika menjalankan Op Naga, Op Damai, Op Khas Pagar Laut dan Op Tiris.
"Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar membawa kepada penemuan lima kenderaan yang mengandungi kotak-kotak berwarna coklat disyaki berisi rokok serta dua motosikal dan dompet yang ditinggalkan.
"Pemeriksaan lanjut menemukan tujuh kotak rokok putih masing-masing di dalam kereta Nissan Grand Livina, Perodua Alza dan Proton Exora, lima kotak (Perodua Kancil), empat kotak (Perodua Alza) serta 90 kotak lagi ditemukan di kawasan tebing sungai," katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Tok Bali di sini hari ini.
Erwan Shah berkata anggaran nilai keseluruhan rampasan melibatkan tujuh kenderaan termasuk dua motosikal serta 120 kotak rokok putih berjumlah lebih RM958,500.
Mengulas lanjut, beliau berkata modus operandi sindiket adalah memilih lokasi terpencil bagi melakukan pendaratan, selain menggunakan pelbagai jenis kenderaan untuk mengangkut rokok seludup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.
-- BERNAMA
#Maritim Malaysia #rokok putih seludup #serbuan di Pasir Mas #Kelantan