MALAYSIA

Maritim Malaysia guna helikopter cari nelayan hilang

Bernama 26/06/2025 | 05:05 MYT
Operasi pencarian kini memasuki hari kedua dengan tumpuan kepada usaha menyelamat. - Gambar/ Maritim Malaysia
KUALA TERENGGANU: Operasi mencari seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Kuala Terengganu pada Selasa diteruskan hari ini dengan bantuan helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) AW 139.

Ringkasan AI
  • Operasi mencari Mohd Noor Abdullah, nelayan yang hilang sejak Selasa lalu di perairan Kuala Terengganu, diteruskan hari ini dengan bantuan helikopter Maritim Malaysia dan kekuatan 16 anggota penyelamat.
  • Kawasan pencarian diperluas meliputi 208.15 batu nautika sekitar Pulau Bidong, lokasi yang sering menjadi tumpuan mangsa menangkap ikan; pangkalan hadapan turut ditubuhkan di Jeti Tok Jembal untuk menyelaras gerakan dan maklumat komuniti.
  • Mohd Noor dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan pada 25 Julai 2024, dan operasi pencarian kini memasuki hari kedua dengan tumpuan kepada usaha menyelamat.

Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) mangsa Mohd Noor Abdullah, 54, pada hari kedua dimulakan kira-kira 7 pagi tadi dengan kekuatan 16 anggota penyelamat termasuk menggunakan bot Penggalang 45 selain pasukan udara.
Beliau berkata usaha pencarian dijalankan di kawasan seluas 208.15 batu nautika di perairan Pulau Bidong, Kuala Nerus.
"Maritim Malaysia telah menubuhkan pangkalan hadapan di Jeti Tok Jembal bagi menyelaras gerakan pencarian serta menerima sebarang maklumat daripada komuniti setempat secara terus.
"Kawasan pencarian diperluas hari ini di sekitar Pulau Bidong yang sering menjadi lokasi tumpuan Mohd Noor menjalankan aktiviti menangkap ikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Noor dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas keluar menangkap ikan kira-kira 2 petang, Selasa lepas.
-- BERNAMA
#nelayan hilang #Kuala Terengganu #Maritim Malaysia #helikopter