PUTRAJAYA: Maritim Malaysia berharap akan menerima sekurang- kurangnya sebuah Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) pada Julai tahun ini sebagaimana yang telah dijanji dan dipersetujui oleh pihak kontraktor.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya juga berharap OPV kedua dan ketiga akan disiapkan dan diserahkan kepada pihak agensi dengan secepat mungkin pada tahun hadapan.

“Perolehan OPV ini adalah sangat penting kepada Maritim Malaysia kerana OPV mempunyai keupayaan yang sangat diperlukan untuk mengawasi dan memelihara kedaulatan serta keselamatan perairan negara khasnya di Laut China Selatan, isu seperti pencerobohan bot-bot nelayan asing akan dapat disekat dengan berkesan," katanya kepada media selepas Perbarisan Paluan Berundur yang diadakan di Dataran Pahlawan, pada Khamis.

Mohd Zubil akan bersara wajib pada 19 Mac nanti selepas menabur bakti selama 42 tahun menjaga keselamatan perairan negara.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau menekankan agar seluruh warga agensi ini sentiasa kreatif dan berinovasi dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Jangan sesekali membuka ruang kepada orang luar untuk mempertikaikan kredibiliti dan kemampuan kita.

"Kita haruslah sentiasa memberikan yang terbaik meskipun pelbagai cabaran dan dugaan harus kita hadapi," katanya lagi.

Mohd Zubil juga menasihatkan seluruh pegawai dan anggota supaya sentiasa berintegriti ketika melaksanakan tugas khususnya ketika berada di lapangan.

“Sekiranya isu ini tidak dibendung, terus terang saya menyatakan bahawa mereka ini adalah ‘musuh dalam selimut’, ‘gunting dalam lipatan’.

"Ini kerana keselamatan negara telah dijual beli demi kepentingan diri sendiri," katanya lagi.