MALAYSIA
Maritim Malaysia perkasa infrastruktur dan aset, pastikan kedaulatan perairan terpelihara
Saiful Lizan berkata Maritim Malaysia kini dalam proses perolehan aset moden termasuk Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) dan Pesawat Rondaan Maritim (MSA) yang dijangka diterima pada akhir tahun hadapan.
KUALA LUMPUR: Pembangunan dan kerja-kerja menaik taraf kompleks zon maritim di lokasi strategik menjadi teras utama pemerkasaan infrastruktur Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam memastikan keberkesanan operasi keselamatan perairan negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata ketika ini agensi itu mengoperasikan kompleks zon maritim di beberapa lokasi strategik termasuk Semporna dan Kudat di Sabah; Labuan; Miri (Sarawak); Tok Bali (Kelantan) serta beberapa lokasi di sepanjang Pantai Timur Semenanjung.
"Kompleks maritim di barisan hadapan bukan sahaja mewujudkan pusat operasi komprehensif dengan peralatan terkini, malah memastikan pegawai dan anggota dapat melaksanakan tugas dengan lebih efisien dan selesa.
"Kemudahan ini turut dilengkapi pusat kawalan operasi, sokongan logistik dan teknikal yang membolehkan masa tindak balas terhadap sebarang kejadian di laut, termasuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan dengan lebih pantas," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Maritim Malaysia menerima peruntukan RM2.29 bilion dalam Belanjawan 2026 yang akan ditumpukan kepada perolehan aset strategik, pembangunan infrastruktur serta penerapan teknologi moden.
Sepanjang tahun lepas Maritim Malaysia dilaporkan berjaya menyelamatkan 1,765 nyawa serta harta benda bernilai RM1.8 bilion, selain nilai rampasan RM102.9 juta menerusi lebih 248,000 pemeriksaan di laut melibatkan 1,124 kes tangkapan.
Mengenai pengukuhan armada, Saiful Lizan berkata Maritim Malaysia kini dalam proses perolehan aset moden termasuk Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) dan Pesawat Rondaan Maritim (MSA) yang dijangka diterima pada akhir tahun hadapan, selain empat helikopter Medium-Lift AW189 dengan yang pertama dijangka diterima pada Julai ini.
Beliau berkata perolehan aset berteknologi tinggi itu akan membolehkan agensi berkenaan melaksanakan operasi dalam tempoh lebih lama serta jarak yang lebih jauh.
Maritim Malaysia, katanya sedang giat mengintegrasikan elemen teknologi moden termasuk sistem pemantauan bersepadu, radar, analitik data dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mendapatkan maklumat sahih pada masa nyata bagi memastikan masa tindak balas segera terutama dalam operasi menyelamat.
"Bagi aset sedia ada pula, kita melaksanakan penyelenggaraan berstruktur melalui program Ship Life Extension Program (SLEP), Refit dan Repowering. Menerusi penggantian peralatan utama dan kemas kini sistem, jangka hayat kapal yang berusia dapat dilanjutkan antara 10 hingga 15 tahun lagi," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata agensi itu bakal mengadakan sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-21 pada 15 Feb ini bertemakan "Maritim Diperkasa, Samudera Terpelihara" di Miri.
Pada sambutan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijadualkan merasmikan Kompleks Zon Maritim Miri, yang akan berfungsi sebagai pusat operasi barisan hadapan bagi menyelaras sokongan logistik di perairan Sarawak.
-- BERNAMA
Kalkulator Belanjawan 2026 - Ketahui Apa Manfaat Anda di sini!