Skip to main content

Malaysia

Maritim Malaysia peroleh tujuh kenderaan pangkalan hadapan SAR bermula tahun ini

81747734067_MaritimMalaysia.jpg
Maritim Malaysia memaklumkan aset itu diperoleh melalui perolehan di bawah Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan dua unit antara aset yang diketengahkan dalam perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya hari ini. - Gambar hiasan
Advertisement

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menerima tujuh Kenderaan Pangkalan Hadapan Carilamat atau Maritime Emergency Response And Coordination (MERAC) secara berperingkat bermula tahun ini bagi memperkukuh keupayaan penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di lapangan.

Maritim Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan aset itu diperoleh melalui perolehan di bawah Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan dua unit antara aset yang diketengahkan dalam perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya hari ini.

“Aset ini berperanan penting sebagai pusat operasi bergerak bagi membantu Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) menyelaras Carilamat di lapangan.

“Selain berfungsi sebagai kenderaan sokongan, MERAC menjadi sebahagian daripada imej Maritim Malaysia selaku agensi peneraju operasi Carilamat maritim dengan menyediakan sokongan logistik serta tindak balas pantas terhadap sebarang insiden kecemasan maritim.

“Semasa operasi dilaksanakan, MERAC akan ditempatkan berhampiran lokasi insiden sebagai Pusat Operasi Hadapan selain berfungsi sebagai pusat penyelarasan komunikasi antara agensi serta pusat pengumpulan, analisis dan penyebaran maklumat operasi,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Maritim Malaysia memaklumkan MERAC turut berperanan sebagai pusat taklimat operasi kepada agensi penyelamat, membantu penyelarasan aset unit Carilamat laut dan udara serta menjadi pusat pengurusan logistik sepanjang operasi.

Pada masa sama, ia berfungsi sebagai pusat penyampaian maklumat rasmi kepada waris mangsa dan media bagi memastikan maklumat disampaikan secara tersusun, tepat dan berkesan.

“Secara keseluruhannya, tujuh MERAC yang akan diterima secara berperingkat akan memperkukuh keupayaan koordinasi MRSC di lapangan serta menyokong pelaksanaan operasi Carilamat yang lebih pantas, cekap dan teratur,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Maritim Malaysia memaklumkan penyertaan pada sambutan Hari Kebangsaan melibatkan 386 pegawai dan anggota terdiri daripada 310 peserta kontinjen perbarisan, 37 pelaku aset dan 39 pancaragam.

“Penyertaan ini bukan sekadar menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan malah membawa mesej agensi sentiasa bersiap siaga melaksanakan amanah menjaga keselamatan, keamanan dan kedaulatan perairan negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement