Skip to main content

Malaysia

Maritim Malaysia rekod nilai rampasan RM2.95 bilion, tahan 516 individu tahun ini

MOHD ROSLI ABDULLAH
Mohd Rosli berkata pencapaian itu hasil komitmen berterusan pihaknya dalam mengawal dan menguatkuasakan kedaulatan perairan negara. - Gambar fail
Advertisement

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan nilai rampasan berjumlah RM2.95 bilion serta menahan 516 individu atas pelbagai kesalahan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata pencapaian itu hasil komitmen berterusan pihaknya dalam mengawal dan menguatkuasakan kedaulatan perairan negara.

Beliau berkata rampasan itu antaranya melibatkan bot tempatan bernilai RM2.11 bilion, dadah (RM86.06 juta), bot nelayan asing (RM66 juta), rokok seludup (RM25.16 juta), udang (RM5.2 juta) dan diesel (RM3.33 juta).

"APMM akan terus memperhebat operasi bagi memastikan barangan kawalan dan bersubsidi tidak diseludup ke luar negara, selain membanteras kegiatan pihak yang cuba mengelak daripada membayar cukai," katanya kepada pemberita selepas Program Santuni MADANI dan Sahabat Maritim di Pantai Rekreasi Balok, di sini hari ini.

Program itu diadakan bagi mendekati komuniti pesisir pantai untuk meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan di laut, di samping memperkukuh kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan dan masyarakat setempat.

Mohd Rosli berkata APMM pada masa yang sama tidak akan mengabaikan usaha memperkasakan keselamatan perairan negara, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta pencegahan jenayah maritim.

Beliau berkata APMM turut menyertai Ops Tiris bersama agensi penguatkuasaan lain dan antara kejayaan terbaharu ialah menggagalkan cubaan menyeludup rokok di Tawau, Sabah pada 23 Jun lepas dengan nilai rampasan rokok dan kapal dianggarkan RM64 juta.

"Operasi bersepadu seperti ini akan terus diperkasakan bagi memastikan perairan negara kekal selamat dan bebas daripada aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement