MALAYSIA

Maritim Malaysia sedang kenal pasti sindiket penyeludupan rempuh, cederakan dua anggota

Bernama 20/09/2025 | 11:50 MYT
Mohd Zawawi (depan, empat kiri), bergambar bersama peserta selepas merasmikan Program World Clean Up Day 2025 di Pantai Pengkalan Balak, hari ini. - Gambar/ Bernama
ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang mengenal pasti sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin yang merempuh aset agensi itu sehingga mengakibatkan dua anggota cedera dalam insiden pada Selasa.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata setakat ini pihaknya memperoleh maklumat berkaitan sindiket terbabit berdasarkan siasatan yang dilakukan ke atas sindiket penyeludupan lain melibatkan penahanan 20 pendatang tanpa izin masing-masing seorang tekong dan awak-awak.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan pegawai penyiasat Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, kami memperoleh maklumat berkaitan bot pancung yang merempuh aset kami dan siasatan masih dijalankan secara terperinci.

"Kedua-dua kes ini tidak melibatkan sindiket yang sama dan terdapat banyak sindiket penyeludupan tanpa segan silu atau rasa bersalah mempromosikan bot-bot yang masuk dari Batam, Indonesia ke Malaysia untuk membawa pendatang tanpa izin," katanya selepas merasmikan Program Hari Pembersihan Sedunia 2025 di Pantai Pengkalan Balak di sini hari ini.

Beliau berkata perairan Selat Melaka khususnya di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor menjadi sasaran laluan utama sindiket membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini kerana kedudukannya yang berhampiran dengan negara jiran terutama Pulau Rupat, Indonesia.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata dua anggota yang cedera dalam insiden rempuhan bot pancung sindiket terlibat berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Hanya seorang masih dalam rawatan lanjut secara berkala manakala seorang lagi hanya mengalami lebam-lebam... tiada kecederaan serius atau kecacatan pada kedua-dua anggota terlibat," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dua anggota Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan cedera selepas dirempuh sebuah bot pancung disyaki membawa sekumpulan pendatang tanpa izin di perairan Tanjung Rhu, Sepang.

Dalam insiden kira-kira 9 malam itu, seorang anggota berusia 34 tahun mengalami kecederaan pada bahagian atas hidung manakala seorang lagi, yang berusia 36 tahun cedera pada kaki dan tangan akibat hentakan.

Pada Rabu pula, Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah bot pancung yang membawa 20 pendatang asing di perairan Tanjung Kling di sini.

Bot pancung berkenaan dikesan dalam keadaan hanyut kira-kira 11 batu nautika barat daya Tanjung Kling pada 9.25 malam dan dipercayai menuju ke perairan Pulau Besar untuk memindahkan pendatang asing ke bot tempatan sebelum mengalami kerosakan enjin.

-- BERNAMA


#Maritim Malaysia #rempuh anggota #sindiket penyeludupan #Selat Melaka