Maritim Malaysia tahan kapal kargo buang sisa minyak di perairan negara

Abd Razak Mohd Ali
Mac 6, 2021 13:28 MYT
Pesawat BOMBARDIER CL-415 MP telah mengesan aktiviti kapal kargo yang mencurigakan itu. - Gambar/ Maritim Malaysia
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo yang disyaki membuang sisa minyak di perairan negara, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kapal itu ditahan pada kedudukan kira-kira 21.7 batu nautika timur laut Pulau Jarak, Selangor sekitar jam 12 tengah hari.
Menurutnya, pesawat Bombardier CL-415 MP telah mengesan aktiviti kapal kargo yang mencurigakan itu dan disalurkan kepada Maritim Malaysia Selangor kerana lokasi kejadian disyaki dalam perairan negeri itu.
Kapal kargo tersebut dikatakan dalam perjalanan menghala ke utara dan telah memasuki perairan negeri Perak.
“KM Gagah yang sedang melakukan rondaan di perairan Perak telah dikerahkan serta merta ke lokasi aduan untuk mengesan dan memintas serta melakukan penggeledahan secara menyeluruh ke atas kapal berkenaan, pada awal pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal tersebut berdaftar di Haiphong, Vietnam dalam perjalanan menuju ke Eropah dengan dikendalikan 22 kru, terdiri daripada warga Vietnam berumur lingkungan 30 hingga 65 tahun yang mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shahrizan, kapal tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 ( MSO) dan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, kapal berserta semua kru ditahan di ‘South East Point’ (SEP) perairan Pulau Pangkor bagi tujuan pengambilan sampel minyak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan insiden ini diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.
#APMM #Maritim Malaysia #kapal kargo #buang minyak #perairan negara #Perak #pesawat kesan #mencurigakan