Maritim Perak berjaya temui bot nelayan tempatan hilang

Aida Aziz
Julai 24, 2022 22:45 MYT
Sejurus menerima maklumat, KM Nyalau berjaya memintas bot nelayan tempatan kelas C yang dikemudi tanpa kebenaran pemilik dan melakukan pemeriksaan serta penggeledahan. - Foto Maritim Perak
LUMUT: Gara-gara mengemudikan sebuah bot nelayan tempatan (BNT) kelas C tanpa kebenaran pemiliknya, seorang warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada kedudukan 6 batu nautika barat Pulau Jarak pada Sabtu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, aduan awal kehilangan bot itu diterima pada Jumaat lalu, kira-kira jam 8 malam, di Selatan Pulau Jarak.
"Berpandukan aduan tersebut, pasukan bot pemintas APMM diatur gerak bersama KM Nyalau ke posisi aduan.
"Dengan bantuan pengesanan Automatic Identification System (AIS) yang dipasang di bot berpangkalan di Jeti Hutan Melintang, Perak, posisi terakhirnya berjaya dikesan oleh SWASLA Lumut iaitu berada di sekitar Selatan Pulau Jarak pada jam 10.50 pagi.
"Sejurus menerima maklumat berkenaan, KM Nyalau berjaya memintas bot berkenaan dan melakukan pemeriksaan serta penggeledahan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohd Hambali berkata, ketika ditahan, pasukan penggeledah mendapati terdapat seorang kru warga Thailand berumur 51 tahun sedang mengemudikan bot berkenaan.
Katanya lagi, kru tersebut juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Selain itu, kru terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/, Seksyen 6 (1) (C) kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta 574, Seksyen 379 A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.
"Kru dan bot ditahan dan diiringi ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kampung Acheh untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya lagi.
Justeru, katanya, Maritim Perak menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan dan anggota, terutamanya komuniti nelayan dalam usaha menjejaki BNT sehingga berjaya ditemukan dan ditahan.
#Maritim Perak #bot nelayan tempatan #warga asing #Pulau Jarak