MALAYSIA

Maritim Perak selamatkan tiga pemancing terkandas di laut

Aida Aziz 29/06/2025 | 00:40 MYT
KM Tugau tiba di lokasi pada jam 11.50 pagi dan berjaya mengesan bot tersebut bersama tiga mangsa dalam keadaan selamat. - Foto Maritim Perak
LUMUT: Seramai tiga orang lelaki warga tempatan diselamatkan selepas mereka terkandas di tengah laut susulan enjin bot yang dinaiki rosak berdekatan 2.9 batu nautika barat daya Pulau Dua pada Jumaat.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999 pada jam 10.55 pagi dari salah seorang mangsa, Ahmad Kushayry Samsudin.
"Kesemua mereka melakukan aktiviti memancing di kawasan berkenaan dan bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) yang mereka naiki gagal berfungsi akibat kerosakan enjin.
"Maklumat itu disalurkan ke Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi, sebelum Kapal Maritim (KM) Tugau diarahkan bergegas ke lokasi kejadian bagi melaksanakan misi menyelamat.
"KM Tugau tiba di lokasi pada jam 11.50 pagi dan berjaya mengesan bot tersebut bersama tiga mangsa dalam keadaan selamat.
"Mereka terus diberikan bantuan dan dibawa pulang ke jeti bersama bot yang rosak,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Foto Maritim Perak
Mohamad Shukri menambah, tindak balas pantas pasukan penyelamat itu sekali lagi membuktikan tahap kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam menghadapi sebarang insiden kecemasan di laut.
Beliau turut menegaskan, keselamatan maritim tidak wajar dipandang ringan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sering menjalankan aktiviti di perairan negara.
Ujarnya lagi, persediaan rapi serta pemeriksaan teknikal bot sebelum keluar ke laut amat penting bagi mengelakkan risiko yang boleh meragut nyawa.
Foto Maritim Perak
Dalam masa sama, beliau menggesa komuniti maritim dan orang awam supaya terus bekerjasama dengan Maritim Malaysia dengan menyalurkan maklumat berkenaan sebarang kejadian atau aktiviti mencurigakan di laut.
"Sebarang kecemasan atau maklumat jenayah maritim boleh disalurkan melalui talian 999 atau menghubungi terus Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254 untuk tindakan segera,” katanya.
#Maritim Perak #pemancing terkandas #lumut #bot terkandas tengah laut