Maritim Perak tahan bot nelayan kelas B, langgar syarat sah lesen

Aida Aziz
April 21, 2022 04:29 MYT
Tiga kru warga tempatan yang mengendalikan bot nelayan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985. - Foto ihsan Maritim Perak
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B kerana didapati melanggar syarat sah lesen di posisi kira-kira 1.7 batu nautika barat Segari, di sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kejadian berlaku pada jam 9.15 malam dan tangkapan dilakukan bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di perairan negeri Perak.
"Ketika ditahan, bot itu dikendalikan tiga kru warga tempatan termasuk tekong, yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, iaitu menangkap ikan kurang daripada 5 batu nautika seperti syarat sah lesen.
"Bot dan kru serta hasil tangkapan yang dianggarkan kira-kira 100 kilogram itu, diiringi ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 jika mengesyaki sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #bot nelayan tempatan #langgar syarat sah lesen #perairan negeri Perak