Skip to main content

Malaysia

Maritim Perak tahan dua vesel nelayan tanpa lesen, rampas 106 bubu naga

Sumber: Maritim Perak
Maritim Malaysia Perak menahan sebuah vesel nelayan yang disyaki menjalankan aktiviti perikanan tanpa lesen sah dan menggunakan peralatan menangkap ikan yang dilarang di kedudukan sekitar 3.9 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu, di perairan Lumut, semalam. - Gambar Maritim Perak
Advertisement

IPOH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah vesel nelayan yang disyaki menjalankan aktiviti perikanan tanpa lesen sah dan menggunakan peralatan menangkap ikan yang dilarang di kedudukan sekitar 3.9 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu, di perairan Lumut, semalam

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan itu dilakukan kapal Maritim Malaysia kira-kira  jam 2.12 pagi, ketika melaksanakan rondaan dan penguatkuasaan menerusi Op Sayong, Op Pintas, Op Khas Tanjung 2 dan Op Tiris di perairan Perak.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua orang kru termasuk tekong warga Malaysia berumur 24 dan 45 tahun berada di atas vesel berkenaan.

“Siasatan awal mendapati vesel tersebut disyaki melakukan beberapa pelanggaran syarat lesen perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen perikanan yang sah serta menggunakan dan memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan iaitu bubu naga,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, kesemua kru termasuk tekong bersama 19 unit peralatan menangkap ikan jenis bubu naga telah ditahan dan dirampas sebelum diiringi ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan serta siasatan lanjut.

Sementara itu, Mohamad Shukri berkata, dalam satu kejadian berasingan, sebuah lagi vesel nelayan yang disyaki menjalankan aktiviti perikanan tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan menangkap ikan yang dilarang telah ditahan di kedudukan sekitar 3.4 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu, kira-kira jam 2.58 pagi Sabtu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga orang kru termasuk tekong warga Malaysia berumur lingkungan 38 hingga 42 tahun berada di atas vesel tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen perikanan yang sah serta menggunakan dan memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan iaitu bubu naga,” ujarnya.

Menurutnya, kesemua kru termasuk tekong bersama 87 unit peralatan menangkap ikan jenis bubu naga telah ditahan dan dirampas sebelum diiringi ke Jeti Perikanan Kampung Acheh serta diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Must Watch Video

Advertisement