Pengasas Facebook Mark Zuckerberg menyatakan kesediaan bagi membantu komuniti antarabangsa melaksanakan agenda baru pembangunan lestari.

Menurut Zuckerberg, Facebook akan menjalinkan kerjasama dengan ‘ONE Campaign’ bagi menyokong deklarasi jalinan rangkaian dengan memberi pengiktirafan terhadap peranan akses internet sebagai pemangkin hak asasi manusia.

'ONE campaign' merupakan satu organisasi membasmi kemiskinan diteraju vokalis kumpulan U2, Bono dan pemimpin dan tokoh masyarakat seluruh dunia.

Selain itu, Zuckerberg turut mengumumkan jalinan kerjasama dengan suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UN High Commissioner for Refugees (UNHCR) bagi memastikan internet dapat disediakan di kem pelarian.

Perjanjian itu adalah sebahagian dari usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2030.


Difahamkan, jaringan internet merupakan satu perkara biasa di negara-negara maju sejak tahun 1990, tetapi pegawai-pegawai PBB menganggarkan bahawa hampir separuh negara di dunia tidak mempunyai akses internet, terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak perempuan.

"Apabila sebuah komuniti mempunyai akses kepada peranti dan pengetahuan berkenaan internet, mereka secara langsung membuka pintu kepada peluang-peluang yang menjadikan kehidupan lebih baik untuk kita semua," kata satu deklarasi ditandatangani oleh Zuckerberg, bersama Bill dan Melinda Gates dan Pengasas Wikipedia Jimmy Wales.

xx
Gambar dari Facebook Mark Zuckerberg


Menurut laporan ABC, Zuckerberg dan Gates sedia menghulurkan sumber dalam merealisasikan matlamat menjaringkan perkhidmatan internet kepada semua orang menjelang tahun 2020.


XXX
Gambar dari Facebook Mark Zuckerberg


Facebook disertai oleh pelbagai individu dan organisasi, antaranya ialah Bill & Melinda Gates Foundation, Richard Branson, Hans Vestberg (Ericsson), Arianna Huffington, Jimmy Wales, Pengasas TED Chris Anderson, pelakon George Takei, Yayasan PBB Kathy Calvin, pelakon Charlize Theron untuk Projek Afrika Outreach.