Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

MARS1000 ialah cip pemprosesan AI pertama keluaran tempatan

Amanz 27/08/2025 | 01:10 MYT
Dengan MARS1000, negara dilihat mengorak langkah baru ke dalam industri rekaan dan pengeluaran cip semikonduktor. - Foto Amanz
SEPANJANG tahun ini, kerajaan Malaysia dilihat sedang memberi fokus yang cukup banyak terhadap pembangunan ekosistem rekaan dan pengeluaran cip semikonduktor kita sendiri. Pelbagai projek telah diperkenalkan, dan kerjasama dengan gergasi industri telah dimeterai untuk tujuan ini.

Terkini, dilaporkan bahawa Malaysia mempunyai cip pemprosesan pertama mereka, yang dinamakan MARS1000 yang dihasilkan oleh syarikat pereka cip semikonduktor tempatan, SkyeChip Sdn Bhd.

CEO SkyeChip, Fong Swee Kiang mengatakan bahawa cip pemprosesan MARS1000 ini dibina menggunakan proses 7nm, tidak begitu jauh daripada apa yang digunakan oleh syarikat-syarikat lain seperti AMD, Intel dan NVIDIA untuk cip pemprosesan AI mereka sendiri.

MARS1000 berfungsi sebagai sebuah cip pemprosesan edge AI yang bermaksud bahawa sebarang proses inferens AI dan sebagainya dilakukan secara terus pada kelengkapan yang akan menggunakan cip pemprosesan AI ini, dan tidak dihantar ke mesin pelayan awanan untuk diproses.

Dengan ini, secara teknikalnya sebarang data syarikat yang mungkin akan dihantar adalah selamat kerana ia tidak akan meninggalkan rangkaian tempatan. Beliau berkata lagi bahawa cip pemprosesan ini boleh dimanfaatkan didalam industri-industri seperti robotik tanpa kawalan, sistem analisa video pintar, bandar pintar, segmen perindustrian dan juga AI generatif.

Pelancaran cip MARS1000 ini juga hadir bersama-sama pengumuman EdgeMind, iaitu sebuah sistem edge AI yang dibangunkan bersama-sama dengan sebuah lagi syarikat automasi, iaitu Elliance Sdn Bhd. EdgeMind dilihat hadir sebagai sebuah sistem automasi AI yang boleh dimanfaatkan didalam industri-industri pengeluaran dan agrikultur.

Kedua-dua cip pemprosesan MARS1000 dan sistem EdgeMind ini merupakan sebuah kerjasama diantara empat syarikat, iaitu Skyechip, Elliance, Kaltech dan Estek Automation. SkyeChip sahaja adalah pemilik lebih 90 paten teknologi sejak lima tahun lepas, manakala Elliance bertanggungjawab membangunkan EdgeMind tanpa memerlukan pengetahun pengaturcaraan yang begitu mendalam.

Sebelum ini, Malaysia dikenali sebagai pusat ujian dan pempakejan cip semikonduktor global, dimana 10 peratus daripada bekalan cip pemprosesan global telah dipakejkan dan diuji di negara ini.

Dengan MARS1000, negara dilihat mengorak langkah baru ke dalam industri rekaan dan pengeluaran cip semikonduktor, yang diharap dapat menandingi negara-negara seperti Taiwan, Korea Selatan dan Jepun.

Bloomberg, The Star







#semikonduktor #Malaysia #cip pemprosesan AI #CIP #MARS1000