KUALA LUMPUR:Peringatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya ahli-ahli politik menghentikan segera politiking yang boleh menggugat kestabilan negara seharusnya dipandang serius semua pihak demi kesejahteraan rakyat.

Penekanan Seri Paduka kepada Belanjawan Negara 2021 dalam kenyataan Istana Negara pada Ahad, juga dilihat bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya situasi 'government shutdown' atau kerajaan hilang fungsi akibat perbuatan politiking.

Yang di-Pertuan Agong juga menyatakan kerajaan sedia ada telah menangani pandemik COVID-19 dengan baik dan berkesan, seterusnya membuat keputusan tiada keperluan melaksanakan perintah darurat seperti dicadangkan.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) dan pensyarah kanan di Pusat Perdana Pengajian Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi Yusof berkata fokus semua pihak, khususnya ahli politik, seharusnya kepada usaha untuk menangani wabak COVID-19.

"Kenyataan berterus terang Tuanku bahawa tiada keperluan Ahli-ahli Parlimen meneruskan usaha yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

"Baginda juga menganggap bahawa tindakan seumpama itu sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.

"Selain itu, ingatan berkaitan Belanjawan Negara 2021 juga amat signifikan. Ini juga perlu diberi perhatian yang serius," katanya kepada Bernama.

Yang di-Pertuan Agong selepas berbincang dengan Raja-Raja Melayu semalam memutuskan tiada keperluan melaksanakan perintah darurat seperti diusulkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani pandemik COVID-19 yang dilaporkan terus meningkat di negara ini.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Tiada keperluan darurat, berhenti main politik - Titah Agong

Setakat ini, Malaysia mencatatkan 26,565 kes COVID-19 termasuk 9,202 kes aktif.

Seri Paduka bagaimanapun mengingatkan supaya semua ahli-ahli politik menghentikan segera tindakan politiking yang boleh menggugat kestabilan pemerintahan negara.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin yang dijadual membentangkan Belanjawan Negara 2021 bulan depan, dijangka berdepan dengan cubaan pihak pembangkang untuk menjatuhkan beliau, termasuk melalui usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Penganalisis politik yang juga pensyarah kanan komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata keputusan Yang di-Pertuan Agong itu tepat dengan keperluan rakyat dan negara.

Katanya, kini terpulang kepada ahli politik, sama ada kerajaan atau pembangkang, untuk membuktikan kematangan politik mereka ketika rakyat berdepan dengan pandemik COVID-19 dan kemelut ekonomi.

"Masa untuk tunjukkan kesepaduan demi kepentingan rakyat. Kita tak mahu pergolakan politik terus berlaku. Hindarkan konfrantasi politik. Masanya untuk tunjuk kematangan politik," katanya merujuk kepada pembentangan Belanjawan 2021.

Pakar pelembagaan yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata kenyataan Istana Negara itu menunjukkan kepercayaan tinggi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kepada kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.

Walaupun Al-Sultan Abdullah menolak pelaksanaan darurat, katanya, Seri Paduka Baginda memberi peringatan kepada ahli-ahli politik supaya tidak menggugat kestabilan pemerintahan negara.

"Tuanku juga beri bayangan mengenai pentingnya Belanjawan negara 2021 untuk rakyat. Baik kerajaan atau pembangkang, kena tengok perkara ini.

(Kalau kita lihat) objektif teragung (dalam kenyataan Istana Negara) adalah untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat," katanya Shamrahayu yang turut menegaskan jika semua pihak mengamalkan sikap 'gentlemen' dalam politik, maka mereka akan mematuhi nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod pula berkata dari perspektif Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sendiri sama ada untuk bersetuju atau tidak untuk isytihar darurat.

Menurutnya, langkah diambil Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dengan Raja-Raja Melayu juga merupakan langkah ke hadapan bagi memastikan institusi diraja memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kerajaan.

"Keputusan yang dibuat (Agong) selaras dengan prinsip mengutamakan kepentingan rakyat dalam apa jua keputusan yang hendak dibuat.

"Walaupun kerajaan mempunyai alasan untuk isytihar darurat, keputusan Yang di-Pertuan Agong memerlukan kerajaan mengambil langkah proaktif untuk selesaikan masalah itu," katanya.

-- BERNAMA