KOTA BHARU: Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) akui berlaku masalah bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Ketil yang membekalkan air ke bandar utama Gua Musang sehingga menjejaskan 1,500 keluarga di Taman Perumahan Bandar Utama, Gua Musang.

Pengurus besar AKSB, Datuk Azuhan Mohamed bagaimana pun berkata, langkah jangka pendek dan panjang dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Beliau merujuk kepada pendedahan Astro AWANI pada isnin bahawa lebih 1,500 keluarga di Taman Perumahan Bandar Utama, Gua Musang menrungut terpaksa menadah air hujan apabila masalah air di tempat mereka berpanjangan untuk tempoh yang lama.

"Isu utama di Gua Musang, air datang dari LRA Ketil kita ada kekangan sumber air terawat sebagaimana yang diterangkan pengerusi PAAB.

"Kita akan bina LRA Cecupak tahun ini dan tindakan pantas kita hantar tanker tapi malang tak mencukupi dan insyaAllah kita minta pasukan AKSB agihkan air secara automatik, sekarang kita buat secara manual," katanya.

Pada Isnin, Astro AWANI menyiarkan kekecewaan penduduk apabila AKSB tidak memberikan jalan penyelesaian berkaitan masalah tersebut sehingga penduduk terpaksa menggunakan menadah air hujan untuk kegunaan harian.

Gangguan Air | Penduduk terpaksa tadah air hujan

Sementara itu, Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) memperuntukkan kira-kira RM471 juta bagi membangunkan aset air baharu bagi mengatasi masalah bekalan air terawat di Kelantan.

Pengerusinya, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, peruntukkan itu membabitkan pembinaan 10 loji rawatan air dengan kapasiti 125 juta liter air sehari.

Beberapa pembinaan loji air terawat antaranya di Semerak, Pasir Puteh, Loji Air Bukit Chupak, Bechah Mulong dan sebagainya dapat meningkatkan kapasiti air sehari.