NATIONAL
Masalah banjir Johor adalah isu legasi yang perlu diselesai segera – Onn Hafiz
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkesempatan meninjau kebajikan mangsa banjir yang terjejas di Skudai. - Foto FB Onn Hafiz Ghazi
KUALA LUMPUR: Penubuhan pasukan petugas khas di peringkat negeri Johor pada 2024, bagi memantau kemajuan projek berimpak tinggi, berjaya memendekkan tempoh pelaksanaan 11 projek mitigasi banjir bernilai RM1.7 bilion dari 2029 kepada 2027.
Ringkasan AI
- Penubuhan pasukan petugas khas di Johor pada 2024 berjaya mempercepatkan pelaksanaan 11 projek mitigasi banjir bernilai RM1.7 bilion dari 2029 kepada 2027.
- Kerajaan negeri Johor menyediakan RM88 juta untuk menyelesaikan 54 kawasan titik panas banjir dan mengelakkan banjir kilat di kawasan bandar.
- Bantuan kewangan diberikan kepada mangsa banjir dan peniaga yang terjejas, termasuk RM3,000 kepada ketua keluarga dan RM500 kepada peniaga di Bazar Ramadan dan Aidilfitri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, selain projek berskala besar seperti tebatan banjir, kerajaan negeri pada tahun ini juga menyediakan RM88 juta untuk pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelesaikan 54 kawasan titik panas lokasi banjir.
Beliau berkata, langkah itu selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk kerajaan menyelesaikan masalah banjir dengan kadar segera, kerana ia dilihat antara masalah legasi yang terlalu lama membelenggu negeri Selatan itu.
“Untuk kawasan-kawasan ini dah kita dah tetapkan 11 projek tebatan banjir berjumlah RM1.7 bilion. Berdasarkan garis masa, ia sepatutnya siap pada 2029 tetapi kita buat special task force. Insya-Allah semua sebelas projek akan siap menjelang tahun 2027.
“Itu bermaksud penjimatan masa dua tahun. Saya tahu walaupun … akan ada masa dua tahun lagi nak siap tapi kita dah pantaskan, kita dah cepatkan.
“Tetapi pada masa sama ada juga di kawasan-kawasan bandar nak bagi mengelakkan banjir-banjir kilat ini, kita bekerjasama dengan semua PBT di Johor, kita belanjakan untuk tahun ini saja RM88 juta untuk menyelesaikan 53 hotspot. Jadi Insya-Allah banjir-banjir kilat di kawasan kawasan bandar menjelang akhir tahun insya-Allah akan selesai,” katanya lagi.
Menteri Besar Johor itu berkata demikian sewaktu bersiaran dalam program Agenda AWANI bersama hos Harits Asyraf Hasnan pada Isnin.
Banjir besar yang melanda Johor baru-baru ini telah merekodkan hampir 14,000 mangsa sewaktu umat Islam sedang membuat persiapan menjalani ibadah puasa dan menjelang sambutan Aidilfitri.
Susulan itu, Onn Hafiz mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima, berjumlah RM11.247 juta kepada mangsa banjir yang terjejas, dengan pemberian dana RM3,000 kepada ketua keluarga isi rumah (KIR) yang berdaftar di pusat pemindahan sementara.
Selain itu kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan RM500 bagi peniaga di 441 Bazar Ramadan dan Aidifiltri yang terjejas di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).
Bagi mangsa yang tidak berdaftar di PPS, Onn Hafiz berkata, mereka masih boleh membuat rayuan untuk dipertimbangkan.
“Bantuan-bantuan yang kita salurkan bukan sahaja untuk mangsa mangsa banjir, atau yang duduk di PPS. Untuk mereka yang tidak duduk di PPS tetapi menjadi mangsa kepada kebanjiran, boleh juga merayu.
“Dan tempoh rayuan itu adalah sampai ke hujung April. Pada masa sama, kita juga membantu dari segi penjaja-penjaja yang terkesan secara langsung akibat banjir. Jadi mereka akan mendapat bantuan dalam RM500.
“Dan untuk sekolah, surau-surau dan masjid-masjid yang terkesan juga kita akan bantu. Sebab itu kita mengambil pendekatan bahawa dalam keadaan susah rakyat, mesti dan wajib dibantu oleh kerajaan,” katanya lagi.