Masalah brek, bas Rapid KL terbakar di Batu Caves

Astro Awani
Disember 29, 2019 21:55 MYT
Ketika kejadian, tiada penumpang di dalam bas Rapid KL tersebut. - Astro AWANI
Seorang pemandu bas Rapid KL mengalami detik cemas apabila sistem brek kenderaannya tiba-tiba hangit dan mengeluarkan api ketika sedang dalam perjalanan ke depoh di Batu Caves pada Ahad.
Kejadian jam 9.40 malam itu berlaku berdekatan kuil Batu Caves di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Pusat gerakan operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, menerima panggilan jam 9.42 malam dan mengerahkan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang ke lokasi.
Ketika kejadian, tiada penumpang di dalam bas tersebut.
Api berjaya dipadamkan 30 minit kemudian.
Siasatan awal mendapati api berpunca daripada tayar belakang berikutan masalah brek yang dialami kenderaan itu.
Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.
#bas #Batu Caves #bomba #brek #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #mrr2 #Rapid KL #Selayang