Skip to main content

Malaysia

Masalah Internet di 12 sekolah Lembah Pantai akan diselesaikan - Fahmi

81684272229_FahmiFadzil.jpg
KUALA LUMPUR: Masalah Internet di 12 sekolah kebangsaan di kawasan Parlimen Lembah Pantai akan diselesaikan secara berperingkat dengan bantuan Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu, kata Ahli Parlimen kawasan itu Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata TM dan PPD Bangsar Pudu sudah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dan sebagai permulaan TM akan pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar hari ini untuk menilai keperluan Internet di situ.

"Proses tersebut akan memakan sedikit masa kerana harus mendapat kelulusan ke kawasan sekolah serta meneliti apa keperluan yang perlu, khususnya untuk bilik guru supaya Internet itu cukup bagi kegunaan harian guru," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Raya Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Sambutan Hari Guru bersama warga pendidik Lembah Pantai di SMK Seri Pantai, di sini pada Selasa.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya sekolah-sekolah di sekitar Lembah Pantai berkolaborasi dengan syarikat gergasi yang berpangkalan di kawasan itu dari segi pendigitalan.

"Kerjasama dengan syarikat-syarikat tersebut juga sedikit sebanyak dapat menunjukkan kepada anak-anak (murid sekolah) bagaimana masa depan mereka dari segi pekerjaan yang mungkin jauh berbeza dengan dahulu..." katanya kepada pemberita selepas majlis.

-- BERNAMA




Advertisement

Must Watch Video