awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
14 negara kecam Israel lulus penempatan baharu di Tebing Barat
Pihak berkuasa Singapura tahan lelaki dakwa ambil dadah bersama bekas peguam, M Ravi sebelum meninggal dunia
Presiden Turkiye tuduh Israel sekat bantuan Gaza dengan “alasan direka-reka”
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Masalah kesuburan lelaki punca hampir separuh kes pasangan sukar hamil - LPPKN

Bernama
Bernama
24/12/2025
21:30 MYT
Masalah kesuburan lelaki punca hampir separuh kes pasangan sukar hamil - LPPKN
Dr Ahmad Zaki memeriksa keadaaan prostat seorang pengunjung di klinik bergerak LPPKN pada program Kesejahteraan Lelaki sempena Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 2025. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Masalah kesuburan dalam kalangan lelaki menyumbang hampir separuh daripada punca pasangan sukar mendapatkan zuriat, kata Pegawai Perubatan Pusat Kepakaran Subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Ahmad Zaki Asraf.

Ringkasan AI
  • Kesuburan lelaki menyumbang hampir separuh punca kesukaran pasangan untuk mendapatkan zuriat, kata Pegawai Perubatan LPPKN.
  • Masalah kesuburan lelaki melibatkan aspek seksual dan kualiti sperma, dengan faktor sperma merupakan penyumbang terbesar.
  • Faktor gaya hidup seperti obesiti dan merokok boleh menjejaskan kesuburan lelaki, manakala gangguan seksual seperti disfungsi ereksi turut berlaku.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu tersebut masih kurang dibincangkan dan sering disalahertikan sebagai masalah wanita semata-mata.
"Dalam masyarakat, apabila pasangan gagal hamil, wanita sering menjadi pihak yang dipersalahkan sedangkan realitinya lelaki juga mempunyai peranan besar dalam isu ini.
"Berdasarkan data antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), faktor lelaki menyumbang kira-kira 45 peratus kepada masalah kesuburan pasangan," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Podcast Kasih Lensa Keluarga bertajuk 'Lelaki Sihat Luar Dalam' terbitan Bernama TV, pada malam Rabu.
Beliau berkata, masalah kesuburan lelaki secara umumnya melibatkan dua komponen utama iaitu aspek seksual dan kualiti sperma, dengan faktor sperma dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar.
Dr Ahmad Zaki berkata, analisis sperma yang dijalankan di LPPKN menunjukkan kira-kira 60 peratus sampel sperma lelaki didapati tidak normal, melibatkan tiga aspek utama iaitu bilangan sperma, pergerakan dan bentuk sperma.
"Bilangan sperma yang sihat sepatutnya melebihi 15 juta bagi setiap mililiter, pergerakan aktif ke hadapan melebihi 32 peratus dan sekurang-kurangnya empat peratus mempunyai bentuk normal," katanya.
Beliau berkata, kegagalan memenuhi mana-mana kriteria itu boleh menjejaskan peluang kehamilan secara semula jadi walaupun hubungan kelamin berlaku secara normal.
Mengulas punca masalah sperma, Dr Ahmad Zaki berkata, faktor gaya hidup merupakan antara penyumbang utama yang boleh diubah, termasuk obesiti, tabiat merokok dan pendedahan kepada asap rokok.
Beliau berkata, peningkatan berat badan boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon lelaki iaitu apabila hormon testosteron bertukar kepada estrogen, ia sekali gus menjejaskan penghasilan sperma.
"Merokok pula bukan sahaja memberi kesan kepada paru-paru malah bahan kimia dalam asap rokok boleh memasuki aliran darah dan menjejaskan fungsi organ pembiakan," katanya.
Selain masalah sperma, beliau berkata, sebahagian lelaki turut mengalami gangguan seksual seperti disfungsi ereksi dan ejakulasi pramatang yang boleh menghalang penyampaian sperma kepada ovum walaupun kualiti sperma adalah normal.
Dr Ahmad Zaki berkata, tinjauan kesihatan kebangsaan menunjukkan kira-kira tiga daripada 10 lelaki di Malaysia mengalami masalah mati pucuk, termasuk dalam kalangan lelaki muda berusia 20 hingga 35 tahun.
Beliau berkata, faktor psikologi, tabiat tidak sihat, penggunaan bahan lucah serta jangkaan seksual yang tidak realistik dikenal pasti antara punca utama peningkatan masalah itu dalam kalangan lelaki muda.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan pemeriksaan kesihatan dan rawatan awal, termasuk mendapatkan nasihat perubatan secara profesional.
Bagi menangani isu berkenaan, Dr Ahmad Zaki berkata, LPPKN menubuhkan Klinik Kesejahteraan Lelaki yang menyediakan sesi saringan kesihatan, kaunseling dan rawatan secara bersemuka bagi membantu golongan itu menangani masalah kesuburan dan seksual secara menyeluruh.
"Lelaki juga mempunyai emosi dan tekanan tersendiri. Apabila diberi ruang selamat untuk bercakap, ramai yang sebenarnya mahu mendapatkan bantuan," katanya.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#gangguan seksual
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#LPPKN
#masalah kesuburan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan